Sukan

MAM gesa penganjur, peserta patuhi SOP acara sukan pemotoran

PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia (MAM) menggesa penganjur dan peserta aktiviti sukan permotoran agar memastikan pematuhan terhadap protokol dan garis panduan yang telah digariskan badan induk itu menjelang pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang pada 20 dan 21 Mac ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan MAM, ia selari dengan Garis Panduan (SOP) sektor sukan dan rekreasi yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pihaknya sangat teruja untuk menyaksikan penyambungan semula aktiviti sukan permotoran bermula hujung minggu ini di Sepang.

“Namun, saya ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat agar mematuhi SOP dengan ketat kerana seperti yang kita sedia maklum, Covid-19 masih merupakan ancaman terhadap negara,” katanya.

Selepas pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix, hujung minggu ini, aksi diteruskan dengan Kejuaraan Toyota Gazoo Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada minggu depan diikuti oleh Kejuaraan KRD pada minggu berikutnya.


“Saya berharap penganjuran akan berjalan dengan lancar, tetapi harus dingatkan bahawa kita secara kolektif bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat. SOP diwujudkan adalah untuk. membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” tambah beliau. – SM

(Visited 56 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button