Jika komunis pejuang, tentera dan polis yang lawan komunis itu apa pula?
Sejarah Malaysia tidak perlu ditulis semula, kata pakar Sejarah, Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam.
Katanya, mana-mana pihak sekali pun tidak boleh mengubah fakta terutama yang berkaitan sejarah kemerdekaan negara.
Katanya, jika komunis diangkat sebagai pejuang kemerdekaan seperti yang dimahukan oleh beberapa kumpulan anak muda, apa pula yang kita mahu gelar polis dan tentera yang melawan menentang komunis selama berdekad.
“Jadi saya tanya, yang polis, dan tentera itu jadi apa? Apa kamu nak namakan mereka, padahal selama ini merekalah pejuang negara.
“Mereka sanggup berkorban nyawa, dapat gaji kecil, ramai yang putus kaki sebab jerangkap samar, dan anak dibesarkan dengan kudrat yang tidak kuat. Jadi mereka itu kita nak panggil apa?” Katanya dalam satu temubual dengan Astro AWANI.
Memetik laporan Astro Awani, Dr. Ramlah berkata, kebebasan bersuara yang semakin terbuka luas hari ini menyebabkan wujudnya persoalan-persoalan sedemikian.
Namun katanya, anak muda perlu menjadi seorang yang rajin membaca bahan akademik dan mempunyai pemikiran kritis.
“Anak muda mesti guna pemikiran kritis mereka itu untuk menyoal setiap pembacaan. Kalau tidak bersetuju dengan saya (buku ditulis), buat kajian untuk persoal pendapat saya.
“Namun, kalau tiada, maka jangan main terima sahaja seperti apa yang dapat dari aplikasi Whatsapp yang boleh mempengaruhi. Jadi kamu kena ada bahan akademik. Jadi itu isunya sekarang,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menuntut pihak yang cuba mengiktiraf perjuangan komunis agar mengemukakan bukti kukuh.
“Setiap sejarah yang ditulis adalah berdasarkan rekod. Jadi kalau kamu kata komunis pejuang, apa buktinya? Mana rujukannya?” Tanya beliau.
Sebelum ini, aktivis, Fadiah Nadwa Fikri menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya, (PKM).
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan masih belum mengkaji cadangan berkenaan.
Jelas Tun Dr Mahathir, hal ini bukan berniat mempromosikan perjuangan komunis sebaliknya lebih kepada maksud supaya komunis, kapitalis, demokrasi dan kleptokrasi difahami. – ARTIKEL INI DIPETIK DARIPADA ASTRO AWANI