fbpx
Nasional

Polis nafi terdapat bendera komunis semasa perarakan Chingay

BUTTERWORTH, 25 Dis — Polis hari ini menafikan terdapat bendera komunis yang dikibarkan semasa perarakan seperti yang ditularkan dalam media sosial sejak malam semalam sebaliknya perarakan tersebut adalah sempena Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang Ke-11 yang diadakan di Jalan Raja Uda, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata menerusi rakaman video berdurasi 1 minit dan 15 saat itu, lelaki yang merakam video perarakan tersebut dengan jelas menyebut bendera komunis semasa perarakan yang bermula 6 petang Ahad.

“Sebenarnya tiada sebarang perarakan yang membawa bendera  komunis berlaku seperti yang ditularkan sebaliknya ia perarakan Chingay yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perarakan tersebut telah bermula dari Dataran Pemuda Butterworth hingga ke Jalan Raja Uda yang dianjurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Pulau Pinang serta turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya berdasarkan siasatan mendapati bendera yang didakwa perakam video itu sebagai bendera komunis sebenarnya bendera yang dibawa oleh satu daripada 25 kontinjen perarakan Chingay yang tertera tulisan KIWANIS iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan di Malaysia.


Noorzainy berkata 50 pegawai dan anggota polis telah bertugas semasa perarakan yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu dan mustahil pihaknya tidak menyedari jika terdapat bendera komunis dikibarkan semasa perarakan tersebut.

“Dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut adalah tidak benar sama sekali dan saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih semata-mata untuk menarik minat netizen yang lain serta menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Katanya polis kini sedang mengesan lelaki yang merakam dan menularkan video tersebut untuk membantu siasatan berhubung dakwaannya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak terus berkongsi dan menyebarkan video itu serta berhenti membuat sebarang spekulasi kerana dakwaan dalam video tersebut langsung tidak benar malah ia tiada kaitan dengan bendera komunis.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button