Politik

Jangan lupa perjuangan nenek moyang kita

Oleh Datuk Hjh Norshida Ibrahim
(Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia)

Alangkah ruginya perjuangan melayu UMNO sekiranya sanggup bergabung dengan gabungan parti politik berideologi komunis.
Sejarah tidak pernah salah dan kita tidak mudah terlupa apakah itu ideologi komunis dan penjajahan tanah air yang pernah datuk moyang kita lalui sebelum ini.

Adakah kita lupa mengenai peristiwa Komunis mula memperkuatkan kedudukan mereka di Tanah Melayu bermula dengan insiden serangan di Sungai Siput, Perak yang menyebabkan 3 orang peladang Eropah terbunuh pada 16 Jun 1948. Pada 18 Jun 1948, Pesuruhjaya British di Tanah Melayu, Sir Edward Gent mengisytharkan darurat di seluruh Tanah Melayu akibat daripada pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya ( PKM ) di Tanah Melayu. Darurat di Tanah Melayu bermula dari tahun 1948 hingga 1960.
Walaupun setelah Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, PKM tetap meneruskan pemberontakan bersenjata dan perang gerila di seluruh Tanah Melayu. Di zaman darurat, puluhan ribu tentera termasuk Rejimen Askar Melayu dan Homeguard terdiri daripada anak tempatan memerangi PKM. Di zaman ini, terdapat kawasan hitam dan putih iaitu kawasan selamat dan tidak selamat dari PKM dan pasukan gerila yang menyokong PKM. Peristiwa berdarah di Bukit Kepong dan Lenggong antara peristiwa hitam yang terpalit sejarah negara akibat daripada keganasan PKM dan pasukan gerila pimpinannya.
Peristiwa 13 Mei 1969 yang menyebabkan rusuhan kaum yang besar di negara juga dipercayai mempunyai kaitan dengan PKM hingga hampir mencacatkan sejarah landskap politik negara.
Saya berasa amat hairan dan musykil apabila ada yang mendakwa PKM atau Komunis dikatakan memperjuangkan kemerdekaan Tanah Air sedangkan setelah merdeka, Komunis masih terus berperang dan memerangi sebuah Kerajaan yang berdaulat dan merdeka. Jika benar dikatakan Komunis berjuang untuk kemerdekaan negara, sudah tentu selepas merdeka, mereka meletakkan senjata, membubarkan PKM dan sama – sama memakmurkan dan mempertahankan negara.
Namun ramai di kalangan anak muda dan yang lahir selepas merdeka sebenarnya tidak mengetahui cita – cita Parti Komunis di seluruh dunia.
Sama dengan ketika Tanah Melayu dijajah oleh Portugis, Belanda, British dan Jepun, tetap ada pengkhianat yang berjuang untuk diri sendiri dan kumpulannya namun menghancurkan Tanah Air tercinta ini. Semoga Malaysia aman makmur dan sejahtera serta dilindungi oleh Allah SWT dari pengkhianat dan penghancur agama, kaum, bangsa dan negara. Biarlah parti keramat UMNO terus berprinsip teguh mempertahankan agenda perjuangan melayu yang tulus ikhlas sama seperti perjuangan ketika umno mula di tubuhkan pada tahun 1946. Tepuk dada tanyalah selera minda kita.

 

(Visited 111 times, 2 visits today)


Show More

Related Articles

Back to top button