Nasional

Kita berpendapat perlunya mengadakan rombakan kabinet – Dr Mahathir.

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan rombakan kabinet dilakukan susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi PH merangkap Pengerusi Bersatu itu bagaimanapun berkata keputusan mengenainya “tidak akan dilakukan hari ini atau esok”.

“(Ia akan dibuat) selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dalam mengambil sebarang langkah ke arah rombakan kabinet, Dr Mahathir mengakui beliau perlu berdepan dengan kekangan tertentu.

“Kekangannya ialah walaupun saya perdana menteri, saya perlu memberi pertimbangan kepada parti-parti komponen (PH), saya tak boleh dengan begitu mudah menukar atau menggugurkan mana-mana pihak.

“Sebab itu ia akan mengambil masa sedikit,” kata beliau.

Menyentuh kekalahan PH di Tanjung Piai, Dr Mahathir berkata ia mungkin antara lain “kerana parti kita baharu, belum cukup matang lagi, belum susun parti dengan cukup lengkap di Tanjung Piai dan tempat-tempat lain”.

Menurutnya, turut ditimbulkan di Tanjung Piai ialah isu kos sara hidup yang tinggi, keadaan ekonomi, bantuan kepada rakyat dan sebagainya.

“Akhirnya kita berpendapat ada perlunya kita mengadakan rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir.

“Saya sebagai perdana menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan kabinet, sebab itu saya dengar pandangan mereka (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu), dan saya akan memberi pertimbangan terhadap desakan supaya kita adakan rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu, perdana menteri berkata tiada perubahan radikal akan berlaku sebelum Malaysia menjadi hos Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung pada November tahun hadapan.

“Saya berpendapat bahawa banyak lagi kerja yang perlu dibuat dan tahun depan kita akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat APEC,” katanya sambil menegaskan persidangan antarabangsa itu adalah penting dan tidak boleh diambil ringan.

“Saya tidak mahu perubahan terlalu banyak berlaku kerana kita perlu membuat persiapan yang diperlukan kerana ia (APEC) melibatkan banyak negara. Kita perlu berhati-hati,” kata perdana menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir mengakui bahawa banyak rancangan yang dilancarkan kerajaan PH akan mengambil masa sebelum ia membuahkan hasil.

Namun, beliau berkata banyak juga perubahan yang dilakukan oleh PH untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih berkesan, termasuk mengurangkan amalan rasuah.

Mengenai pertemuan antara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan sekumpulan ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini, Dr Mahathir berkata perkara itu perlu diselesaikan di peringkat PKR sendiri.

Menyifatkan perkara itu sebagai masalah dalaman PKR, perdana menteri mencadangkan parti itu menyelidik punca pertemuan tersebut diadakan.

“Saya belum bercakap dengannya lagi. Saya tidak tahu kenapa ada pertemuan, ia melibatkan parti lain juga,” tambahnya.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button