Politik

Kabinet jambatan emas

 

Oleh Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri

Terdapat 5 perkara penting mengenai kabinet YAB DS Ismail Sabri yang diumumkan semalam.

*Pertama*, kabinet baru ini menggambarkan tahap kematangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengemudi negara walaupun mewarisi sebuah Kerajaan yang sangat mencabar. Tidak ada kegelojohan dan tidak ada political stress dalam kalangan gabungan parti-parti politik semasa membentuk Kerajaan. Perjalanan dan pengumuman membentuk Kerajaan sangat harmonis dan tenang, hanya di medsos gegak-gempita kerana netizen kurang maklumat tepat sebaliknya banyak mengulas rumors yang lemah.

*Kedua*, kematangan Ismail Sabri juga boleh dilihat dalam mengekalkan momentum kabinet kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sedikit penyesuaian. Perkara ini membawa kepada keharmonian dalam gabungan parti-parti politik yang membentuk kerajaan.

Semua gabungan berpuas hati, malahan mantan Perdana Menteri DS Najib Razak turut mempertahankan Kerajaan ini. Hanya segelintir pembangkang berlaku nakal di medsos, asal ada disuarakan supaya kekal relevan agaknya. Saya melihat wakil rakyat pembangkang seperti Hannah Yeoh, Tun Dr. Mahathir dan Tony Pua menunjuk level patirotik yang agak luar biasa berbanding rerakan mereka yang lain.

*Ketiga*, Ismail Sabri mengambil langkah bijak apabila meletak YB Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Komunikasi & Multimedia (KKMM) kerana TS Annuar Musa memiliki kebolehan dalam mengurus isu dan memantapkan penyampaian dasar-dasar Kerajaan di media arus perdana dan medsos.

Kejayaan besar TS Annuar Musa di Kementerian Wilayah Persekutuan menjadi teropong media asing dan pemimpin segenap lapisan masyarakat terutama pujian oleh rakyat marhaen, parti-parti pembangkang dan media pro-pembangkang.

Pelantikan YB Khairy Jamaluddin turut mendapat respon yang positif daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya kakitangan Kerajaan dan rakyat. Selama ini, menteri kesihatan adalah di kalangan mereka yang berlatar belakang perubatan. Walau bagaimanapun, perlantikan Khairy adalah sesuatu yang tidak mengejutkan dengan pelibatan beliau dalam vaksinasi negara dan dianggap lagi menyerlah dan meyakinkan berbanding menteri kesihatan yang sebenarya sebelum ini. Ia menjadi cabaran besar kepada Khairy untuk mengurangkan penularan wabak Covid19 dan menjayakan program vaksinasi kebangsaan, selain menangani masalah-masalah lain kementerian yang terkesan akibat pandemik ini.

Krisis kesihatan yang kita alami ini juga menuntut permuafakatan antara Menteri dan pengurusan tertinggi kementerian kesihatan yang tinggi bagi menangani cabaran pandemik dengan jayanya.

Begitu juga pelantikan semula Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin membolehkan perancangan beliau sebelum ini dapat diteruskan.

Pelantikan semula Menteri Kanan MITI, DS Azmin Ali, Menteri Kanan Pertahanan, DS Hishammuddin Hussien dan Menteri Kanan Kerja Raya, DS Fadillah Yusof menggambarkan kepercayaan tinggi DS Ismail Sabri kepada mereka untuk meneruskan dan menjayakan agenda pemulihan negara.

*Keempat*, pengumuman DS Ismail Sabri untuk meneruskan dan menambahbaik program pemulihan negara menunjukkan hubungan politik yang sangat akrab antara beliau dengan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hubungan politik yang baik juga berjaya dipulihkan dengan UMNO selain pengukuhan hubungan politik dengan PAS dan parti-parti gabungan GPS dan GRS di Sabah-Sarawak.

DS Ismail Sabri berjaya menjadi *jambatan emas* kepada parti BERSATU dengan UMNO sesuatu yang sukar dilakukan oleh orang lain. Gabungan Kabinet ini juga menyerlahkan perpaduan politik orang Melayu dan diharap pemuafakatan ini dapat dikuatkan lagi melalui kesedaran kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan politik peribadi.

*Kelima*, pendekatan DS Ismail Sabri tidak menimbulkan konflik dengan pihak pembangkang melalui kerjasama berKerajaan yang telah ditandatangani di Pejabat Perdana Menteri telah mengikat semua pihak untuk membuktikan komitmen kepada saranan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong untuk melupakan sengketa politik sebaliknya memberi fokus kepada keperluan rakyat. Barangsiapa yang berpura-pura dengan melanggar janji gentleman itu, mereka sangat berisiko ditolak oleh rakyat di mana rakyat akan mempertikai integiriti dan kredebiliti mereka sebagai pemimpin. Maka patuhlah perjanjian negara itu.

DS Ismail Sabri menunjukkan *political will* dengan mengambil tindakan tegas membela nasib peniaga kecil di Jalan Semarak, Kuala Lumpur serta melakukan lawatan mengejut ke kawasan bencana kepala air di Jerai, Kedah. Peruntukan segera RM75 juta diluluskan untuk memulihkan kawasan bencana tersebut. Sebanyak RM50 juta menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer. Pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta),pembinaan Empangan Sabo (RM20 juta). Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga yang terkesan dengan bencana ini. Sebanyak RM5,000 juga akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan waris dalam kejadian ini.

Saya berpandangan dengan lima faktor penting tadi, ada sinar bahagia kepada rakyat Malaysia tidak berapa lama lagi.

Namun begitu, tidak adil kepada Perdana Menteri, DS Ismail Sabri jika kita sebagai rakyat pula tidak bersama-sama menyahut seruan DYMM SPB YDA untuk mengekalkan keharmonian dan bersama-sama dengan Kerajaan memastikan pandemik Covid-19 ini berjaya diatasi dan seterusnya kita kembali kepada suasana ceria bahagia sebelum pandemik Covid-19.

Kesimpulan, kabinet lama atau kabinet baru yang penting ialah bagaimana kita boleh menjadi sebahagian daripada pasukan kabinet tersebut. Paling mudah dilakukan ialah dengan menanam semangat kenegaraan melalui slogan Keluarga Malaysia.

Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan lulusan pengajian sains politik dalam bidang politik dan kerajaan. Disiplin beliau dalam aspek patriotisme, keselamatan negara dan pembinaan negara bangsa

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button