PolitikRencana

Ismail Sabri susun kabinet kesinambungan penuh strategi

BARISAN kabinet yang diumumkan pagi ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada kabinet kerajaan terdahulu, tetapi disusunkan dengan penuh strategi.

Dalam situasi politik semasa yang terlalu panas dan kedudukan majoriti tipis, Ismail Sabri tidak boleh terlalu kreatif dalam membentuk kabinet, apatah lagi bagi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan perubahan secara total.

Bahkan Yang di-Pertuan Agong sendiri sebelum ini telah bertitah supaya kerajaan baharu dibentuk oleh perdana menteri baharu harus meneruskan agenda dan polisi baik dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini, terutama dalam menangani Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan membawa negara keluar dari krisis pandemik pada bulan hadapan apabila 80 peratus penduduk negara ini telah lengkap divaksin bagi membentuk imuniti kelompok.

Harus difahami, Ismail Sabri berada pada kedudukan hari ini bukan kerana beliau sangat cemerlang dan menyebabkan negara tidak mempunyai calon pilihan lain, tetapi adalah kerana sebahagian besarnya hasil daripada percaturan politik matang bagi mengelakkan kerajaan terus tumbang dalam situasi negara berdepan cabaran kritikal pandemik Covid-19.

Daripada seorang menteri kanan, beliau diletakkan sebagai timbalan perdana menteri bukan atas tanpa sebab dan ia tentulah bagi memastikan kerajaan ini tidak runtuh jika Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.


Muhyiddin selaku pemimpin berjiwa besar telah membayangkan bakal meletakkan jawatan, bukan kerana kegagalannya sebagai pemimpin, tetapi bagi meredakan tekanan terhadap kerajaan yang berlaku dari dalam dan luar pemerintahan.

Selepas meletakkan jawatan Muhyiddin juga memastikan semuanya mengikut peraturan dan Perlembagaan serta komponen parti lain di dalam Perikatan Nasional (PN) memberi sokongan padu kepada Ismail Sabri.

Pada masa yang sama, selain Ismail Sabri terdapat ramai pemimpin UMNO bergerak memujuk kumpulan 15 ahli parlimen UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin dengan diterajui oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya untuk kembali bersama-sama di dalam saf.

Sebagai pemimpin yang luas pengalamannya Ismail Sabri faham beliau harus membuat pertimbangan yang bijak agar-agar bekas perdana menteri tidak dipinggirkan begitu sahaja apatah lagi Muhyiddin ialah Presiden Bersatu, bukan sahaja mempunyai pengaruh yang kuat di dalam PN, tetapi pemimpin salah sebuah parti yang besar di dalam pakatan berkenaan.

Ramai juga sudah mulai rindu kelibat Muhyiddin yang terkenal dengan panggilan Abah. Sikap beliau yang bersahaja setiap kali tampil memberi perutusan sangat disenangi oleh rakyat. Kejujuran dan keikhlasan beliau jelas terpancar tanpa perlu dibuat-buat.

Muhyiddin memulakan perutusan dengan bertanyakan khabar rakyat terlebih dahulu dan beliau juga tidak pernah lupa mendoakan rakyat. Itulah sikap seorang Abah.

Jadi selain memastikan kesinambungan kecemerlangan dalam menangani wabak Covid-19, Ismail Sabri turut membawa beberapa pemimpin veteran seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Mahdzir Khalid ke dalam dalam kabinet bagi memantapkan lagi gerak kerjanya.

Ini adalah kerana kini bukan masa yang sesuai untuk melakukan uji kaji dengan meletakkan pemimpin muda tanpa pengalaman.

Beberapa pemimpin yang berprestasi tinggi seperti Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Annuar Musa diberikan tugas yang lebih besar, manakala Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin kekal sebagai Menteri Pendidikan dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan.

Mohd Radzi seorang menteri yang sangat digemari dan disenani oleh para guru kerana polisi yang dilaksanakan beliau adalah jelas dan teliti.

Tengku Zafrul pula telah terbukti sangat bijak mengatur perbelanjaan negara dalam situasi gawat ini bagi memastikan semua program pemulihan negara lancar, pada masa yang sama rakyat dibantu semaksimum mungkin dalam menghadapi keadaan getir ini.

Khairy pula sangat cerdas dalam merancang program vaksinasi dan ia dapat berjalan lancar sehinggakan kita mampu mencapai imuniti kelompok lebih cepat dari apa yang dirancang.

Annuar pula seorang yang terkenal sebagai pemimpin yang bersama-sama dengan rakyat dan pada masa yang sama mampu menjelaskan dasar-dasar kerajaan yang tepat dan jitu. Penjelasan beliau telah merungkai banyak kekeliruan dan kekalutan.

Beliau juga menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya prihatin dengan membenarkan para peniaga berniaga di pinggir jalan bagi membuka ruang untuk mereka yang kehilangan pekerjaan menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan.

Paling melegakan warga ibu negara kerana tidak perlu membayar parkir letak kenderaan sepanjang tempoh kegawatan ini.

Annuar juga berjaya menjadikah Labuan sebagai wilayah paling awal mencapai imuniti kelompok dengan jumlah kes jangkitan harian sangat minimum.

Begitu juga penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya juga akan mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat melalui pendekatan vaksinasi mesra rakyat secara bergerak menggunakan kenderaan yang diubahsuai khas.

Selain itu beliau juga mewujudkan Rumah Prihatin, bukan sahaja untuk memberi perlindungan sementara kepada mereka yang tidak mempunyai kediaman, tetapi untuk dijadikan tempat kuarantin bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Kita harus bersyukur kerana negara ini dirahmati dengan para pemimpin yang berjiwa besar dan sanggup berkorban bagi memastikan kestabilan politik dicapai seterusnya membolehkan pelan pemulihan negara dapat dijalankan.

Para pemimpin pembangkang yang terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng juga telah menyatakan kesanggupan mereka untuk bersama-sama meredakan susuh politik negara pada ketika ini.

Apabila kita semua sebagai sebuah keluarga bekerjasama, faedahnya akan dikecapi kita semua.

 

(Visited 146 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button