PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah berada di Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 sempat meluangkan masa untuk bertemu dengan para pemimpin Gerakan dan pertubuhan Islam Indonesia, semalam.
“Alhamdulillah, dalam kepadatan jadual sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta, saya sempat berdiskusi dan bertukar pandangan dengan para pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam.
“Pertemuan ini amat bermakna tatkala kami menghimbau garis sejarah permulaan saya sebagai aktivis yang pernah belajar dari hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka,” kata Perdana Menteri Anwar dalam catatannya di Facebook.
Beliau berkata, dalam perbincangan tersebut, mereka banyak menyentuh tantangan pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang di hadapi dunia Islam.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas Bapak Haedar Nashir, Ketua Umum Muhammadiyah; Dr Adian Husaini, Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII) dan Prof Din Syamsuddin yang turut hadir bersama dengan 11 organisasi termasuk Ibu Khofifah Indar Parawansa, Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur atas kesudian hadir dalam pertemuan ini.
“Siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara,” katanya. – SM