NasionalParlimen

Subsidi dikurangkan untuk orang kaya, jangan dipolitikkan

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengurangan subsidi hanya dikenakan ke atas golongan orang kaya dan hal ini jangan dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Anwar membidas kenyataan Datuk Seri Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berhubung kerajaan mengurangkan subsidi kepada rakyat yang menyebabkan mereka terbeban masa ini.

pakatan
Dr Radzi Jidin

Beliau mempersoalkan dakwaan Radzi itu dan berkata, pengurangan subsidi hanya dibuat terhadap golongan berpendapatan tinggi (T20) dan bukannya majoriti rakyat.

“Bila sebut pengurangan subsidi, di mana kurang? Yang kurang itu untuk orang kaya,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika menjawab soalan tambahan daripada Radzi dalam sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar seterusnya berkata, “Kita kurangkan subsidi elektrik untuk yang ‘maha kaya’. Kenapa nak jadikan isu politik?”

SUBSIDI tidak diberikan kepada orang kaya T20, rakyat marhaen masih menerima subsidi oleh kerajaan perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani. – GAMBAR SUARA MERDEKA

Sebelum itu, Radzi berkata, kenaikan harga barangan ketika ini selepas kejatuhan nilai ringgit dan pengurangan subsidi kepada rakyat telah mencengkam kehidupan mereka.

Susulan itu, Radzi bertanya, apakah tindakan kerajaan untuk memastikan rakyat tidak sengsara pada masa ini.

Ahli Parlimen Tambun dan juga Menteri Kewangan itu juga menegaskan bahawa pengurangan subsidi untuk golongan T20 adalah untuk memastikan ia tidak membebankan golongan rakyat yang berpendapatan rendah (B40).

“Kamu sudah kaya benar… takkan Tabung Haji nak subsidi ke Mekah? Ini memang ada rungutan tetapi saya tegas perkara itu kita mesti kurangkan,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Anwar berkata, kerajaan tidak lagi akan memberi subsidi kepada golongan T20 bagi penggunaan elektrik dan bantuan kewangan haji.

Beliau berkata, sistem penyelarasan data – Pangkalan Data Utama (Padu) – yang dijangka siap akhir tahun ini akan mengurus serta menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.

Lembaga Tabung Haji (LTH) pula menetapkan bantuan kewangan haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini diperuntukkan kepada jemaah muassasah B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

Manakala jemaah muassasah T20 yang berpendapatan lebih RM15,000 akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji.

Sementara itu, Anwar berkata, mengenai peningkatan kos makanan import susulan kejatuhan ringgit, beliau telah mengarahkan kementerian berkenaan untuk memantau perkara itu.

Beliau bagaimanapun memuji masalah harga ayam dan telur masa ini dapat dikawal dan tidak seteruk pada tahun lalu. – SM

BACA Kerajaan akan hentikan subsidi elektrik untuk orang kaya

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button