Politik

Muhyiddin umum Mas Ermieyati calon Parlimen Masjid Tanah

Perikatan Nasional (PN) mengumumkan penyandang Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin sebagai calon pertama akan mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman tersebut dibuat sewaktu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap sebelum merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah dekat sini malam tadi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu adalah calon pertama yang diumumkan dalam Siri Jelajah Prihatin PN sebelum senarai calon-calon akan dimaklumkan dalam masa terdekat ini

“Kebetulan saya ada di sini, nampak semua sudah bersemangat, saya kata okeylah, saya umum sajalah Mas Ermieyati sebagai calon PN bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah.

“Berdasarkan rekod prestasi dan dia pun saya fikir telah menjaga kawasan dengan baik, orang lama, banyak pengalaman dalam kerajaan, dia punya profil pun bagus, jadi bagi saya ini yang terbaik.

“Orang Masjid Tanah dah tahu Mas Ermieyati kerja kuat saya rasa tak boleh nak elak kena umum juga calon kita Mas Ermieyati.

“Sebab itu saya ambil kesempatan (umum). Saya harap orang Masjid Tanah akan berasa gembira dan menyokong beliau, itu harapan saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran program tersebut.

Pada PRU14, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan dua pencabarnya Datuk Dr. Sabirin Ja’afar (PKR) dan Nasir Othman (PAS).

Ketua Pergerakan Puteri UMNO itu kemudiannya menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, PN telah menyelesaikan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen dan calon-calon yang akan bertanding pada PRU15 nanti.

Menegaskan perkara tersebut, nama calon yang akan bertanding atas tiket PN akan diumumkan oleh Pengerusi PN di negeri masing-masing dalam tempoh terdekat ini.

Mengenai manifesto pula katanya, draf telah diserahkan kepada mesyuarat tertinggi PN yang lepas dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

“Perkara utama dalam manifesto itu adalah bagaimana hendak membantu rakyat yang terkesan besar yang sebahagiannya sudah jatuh miskin tak kira apa kaum yang ada saya ada data-data yang menunjukkan ini satu perkara perlu diutamakan,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button