551 pusat kuarantin diwartakan kerajaan – Ismail Sabri
PUTRAJAYA, 5 April — Sebanyak 551 pusat kuarantin berkaitan COVID-19 telah diwartakan kerajaan yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu dalam satu-satu masa.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, 107 stesen (pusat kuarantin) beroperasi sepenuhnya.
“Semalam 90 pusat kuarantin, hari ini ditambah lagi menjadikan 107 stesen,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai operasi sanitasi awam, beliau berkata sehingga kini 83 kawasan di 11 negeri termasuk 41 di Johor dan 14 di Kuala Lumpur telah melalui proses itu dalam membendung penyebaran wabak COVID-19.
Tumpuan diberikan di zon merah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi serta kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Semalam proses nyah cemar dilaksanakan di 32,268 unit rumah PPR,” katanya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaku ketua operasi dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi sanitasi awam di seluruh negara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengingatkan para pengamal media untuk beretika semasa mengeluarkan laporan berita bagi memastikan rakyat tidak dikelirukan dengan informasi yang tidak tepat.
“Saya harap pengamal media apabila menyiarkan berita, siarkanlah berita yang benar kerana berita separuh benar dan palsu pastinya akan terus mengelirukan rakyat dan tidak membantu kerajaan untuk menyelesaikan isu krisis COVID-19,” katanya. — BERNAMA