NasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis tahan bot kelas A tangguk siput secara haram

AKTIVITI menangguk siput retak seribu yang diharamkan semakin rancak dilakukan pada waktu malam. Di celah kegelapan malam ini telah digunakan oleh pihak yang cuba mengaut keuntungan kerana yakin ia sukar dihidu oleh pihak berkuasa.

Namun mereka terlupa, orang awam tidak akan membiarkan perbuatan ini berleluasa.

Berikutan aduan awam yang disalurkan melalui Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Perlis, pencerobohan kawasan aktiviti penangkapan siput jenis retak seribu di sekitar perairan Kuala Perlis berjaya dikesan.

Bot kelas A yang ditahan menangguk siput retak seribu yang diharamkan di perairan Perlis. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis.

Sebuah bot ronda Zon Maritim Kuala Perlis yang melakukan rondaan rutin Op Aman dan Op Benteng Laut telah diatur untuk bergerak ke lokasi bagi melaksanakan pemeriksaan sebelum menahan bot terbabit.

“Sebuah bot kelas A disyaki menangkap siput retak seribu secara haram di sekitar perairan Kuala Perlis, awal pagi tadi telah ditahan,” kata Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain.

Beliau berkata, meskipun rondaan kerap dilakukan namun aktiviti menangkap siput secara haram masih giat dilakukan walaupun dalam keadaan bergelap demi mengaut keuntungan.

Katanya, tangkapan berkenaan dibuat pada kedudukan kira-kira 0.91 batu nautika daripada barat daya Kurong Tengar, Kuala Perlis sekitar pukul 12.10 pagi semalam, membabitkan seorang tekong dan dua kru.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sebuah bot nelayan tempatan Kelas A bernombor pendaftaran KHF 1650 berpangkalan di Kuala Kedah dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, antaranya kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel tersebut serta Seksyen 11 (3) (c) kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Berikutan itu kata Mohd Hashim, satu set sangkar besi berupa tangguk siput dan hasil laut siput retak seribu seberat 15 kilogram dirampas ketika pemeriksaan dilakukan.

Katanya lagi, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, sangkar besi dan siput retak seribu sekitar RM101,015.

Tangguk siput juga dirampas oleh Zon Maritim Kuala Perlis.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan merupakan warga tempatan berusia 34 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, bot serta hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Aktiviti penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan di bawah Jabatan Perikanan Negeri Perlis kerana tiada sebarang jenis lesen bagi aktiviti penangkapan siput dikeluarkan.

Lesen atau permit untuk aktiviti penangkapan siput berkenaan hanya dikeluarkan di negeri Kedah dan kebenaran menjalankan aktiviti berkenaan di perairan negeri itu sahaja.

Aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosistem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan, memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut serta turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 406 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button