Zon Barakah Bank Rakyat bantu golongan terputus barang keperluan dan makanan asas
Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al-Barakah Bank Rakyat terus membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan pada waktu pandemik COVID-19 ini menerusi inisiatif pemberian bantuan keperluan dan makanan asas yang dikenali sebagai Zon Barakah Bank Rakyat.
Bantuan keperluan dan makanan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak, sardin, telur ayam, kicap, gula, garam, teh, biskut, susu tepung serta lampin pakai buang disediakan di rak Zon Barakah Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat bermula 13 Ogos 2021.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, bersempena dengan sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat mengambil keberkatan dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama, lebih-lebih lagi situasi pandemik COVID-19 kini menjejaskan pendapatan masyarakat.
“Dengan akses kepada bekalan makanan dan keperluan asas ini, golongan yang terkesan dapat menggunakan wang mereka untuk perbelanjaan lain seperti rawatan perubatan dan peralatan pendidikan,” ujar Datuk Haji Abd Rani.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan pula berkata, pendekatan ini juga dapat mengukuhkan sistem sosial Islam menerusi kaedah ‘memberi semula kepada komuniti’ kerana di sebalik kejayaan Bank Rakyat, tidak sempurna sekiranya rezeki tidak dikongsi bersama mereka yang memerlukan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kos sara hidup masyarakat di Jalan Rakyat dan kawasan sekitarnya bagi mendapatkan bekalan keperluan asas yang diperlukan dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan komuniti di kawasan kami beroperasi.
“Pada fasa kedua nanti, kami mengalu-alukan penyertaan warga kerja Bank Rakyat dan orang ramai untuk turut sama memberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan di Zon Barakah Bank Rakyat ini,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz.
Sementara itu, orang ramai yang hadir ke Zon Barakah Bank Rakyat dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera atau mendaftar di buku log yang disediakan, memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika mengambil barang keperluan tersebut. – SM