Hiburan

Marissa Dania Mohon Hormat Privasi

SETELAH sekian lama mendiamkan diri di sebalik kontroversi yang melanda, Marissa Dania Hakim, anak kepada pelakon terkenal Abby Abadi, akhirnya tampil memberi penjelasan terbuka mengenai situasi rumah tangganya bersama suami, Ahmad Aslam.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, Marissa, 19, memohon agar semua pihak berhenti membuat spekulasi berlebihan dan memberi ruang kepada mereka sekeluarga.

“Dari pihak saya, semuanya saya selesaikan secara peribadi dengan semua yang terlibat. Kalau ada kekhilafan, saya mohon maaf. Saya takkan ulas lagi apa-apa, saya harap semua hormat batas itu,” tulisnya tenang.

Kenyataan tersebut hadir selepas pelbagai reaksi daripada keluarga terdekat termasuk ibu bapanya dan juga suami kepada Abby, Muhammad Faizal Zakaria yang sebelum ini pernah mendedahkan pernah menampar Aslam kerana tidak berpuas hati dengan cara menantu itu menangani isu.

Lebih memilukan, Marissa turut berkongsi kesedihan kehilangan bayi sulung mereka yang meninggal dunia selepas dilahirkan secara pramatang.

“Saya bersyukur diberi peluang mengandung dan melahirkan. Walaupun tidak sempat membesarkan, kasih sayang itu tetap ada. Cukuplah saya yang tahu rasa itu,” luahnya melalui Insta Stories.

Kontroversi mula tercetus hujung tahun lalu apabila pernikahan rahsia antara Marissa dan Aslam di Thailand terbongkar ketika isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan, sedang menunaikan umrah. Abby Abadi pada mulanya terkejut dan kecewa dengan tindakan tersebut yang dilakukan tanpa pengetahuan keluarga.

Walaupun reda dengan keputusan anaknya untuk hidup bermadu, Abby turut menegaskan bahawa Aslam perlu tampil bertanggungjawab dan menjaga maruah kedua-dua isterinya.

Sehingga kini, netizen masih memberikan reaksi berbelah bahagi terhadap situasi keluarga selebriti ini, namun kenyataan terkini Marissa diharap dapat meredakan ketegangan yang timbul sejak awal tahun.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button