Acara

Negeri Perlis mengalu-alukan keberangkatan Sultan Brunei ke Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis

ARAU – Negeri Perlis mengalu-alukan keberangkatan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ke negeri ini bersempena Majlis Santapan Diraja sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17 April 2025 malam.

Majlis ini bakal diserikan lagi dengan keberangkatan Raja-Raja Melayu dan Permaisuri-Permaisuri, antaranya Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Sultanah Terengganu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tuanku Tengku Permaisuri Selangor, serta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Turut dijadual berangkat ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, dan Tuanku Raja Permaisuri Perak, serta Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tuanku Sultanah Kedah.

Pemangku Raja Pahang, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim, turut dijangka berangkat bagi mewakili Ke Bawah Duli-Duli Tuanku Negeri Pahang dan Negeri Johor.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menghadiri majlis Sembah Mengadap Tahunan Sempena Aidilfitri oleh warga kerja Istana Arau di Istana Arau baru-baru ini.

Turut berangkat sama adalah anakanda puteri dan putera Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, dan Waris Ke-Dua Negeri Perlis Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Akan turut sama memuliakan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman.

Majlis akan turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof.

(Foto : Ihsan Istana Arau).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button