Mahkamah

Khairy Menang Kes Fitnah Vaksin bernilai RM2.5 Juta

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) berjaya dalam tuntutan saman fitnah terhadap pendakwah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, berhubung dakwaan palsu berkaitan vaksin COVID-19.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan bahawa kenyataan dan kandungan yang dimuat naik oleh Abu Syafiq di laman Instagram adalah fitnah dan berniat jahat terhadap Khairy selaku Menteri Kesihatan ketika negara sedang bergelut dengan pandemik.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan Abu Syafiq membayar ganti rugi berjumlah RM2.5 juta kepada Khairy selain kos perbicaraan sebanyak RM50,000.

Tindakan undang-undang ini difailkan oleh Khairy pada 25 Januari 2022 susulan tiga video dan satu hantaran gambar dimuat naik oleh Abu Syafiq antara Oktober 2021 hingga Januari 2022. Kandungan tersebut mendakwa Khairy memalsukan status vaksinasi dan menipu rakyat Malaysia mengenai dos ketiga vaksin COVID-19.

Menurut kenyataan Khairy, tindakan undang-undang ini bukan semata-mata soal wang, tetapi sebagai satu langkah tegas bagi mempertahankan reputasi beliau daripada fitnah, terutama dalam isu kesihatan awam yang sangat sensitif dan penting ketika negara berdepan krisis kesihatan.

“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini. Ini bukan soal duit, tapi soal prinsip dan integriti. Saya bertanggungjawab terhadap dasar kesihatan negara ketika itu dan tidak boleh membiarkan sebarang pembohongan berleluasa,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Sebelum ini, Khairy juga menyelesaikan satu lagi kes saman fitnah secara baik terhadap Datuk Lokman Noor Adam. Lokman bersetuju memadamkan semua kenyataan fitnah, memohon maaf secara terbuka dalam dua bahasa serta membayar pampasan kepada KJ.

Kemenangan ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan terhadap usaha memerangi maklumat palsu, malah menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat – terutama melibatkan isu kesihatan awam.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button