MahkamahNasional

Zamri Vinoth tidak mengaku mencedera, mengugut bunuh seorang wanita

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Centre Malaysia, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencedera dan mengugut bunuh seorang wanita.

Tertuduh yang juga seorang pendakwah bebas yang lebih dikenali sebagai Zamri Vinoth, 38, mohon dibicarakan ketika dua pertuduhan dibacakana terhadapnya.

Zamri Vinoth dilihat menaiki kereta lain melalui jalan belakang mahkamah untuk mengelak dari dirakam gambar oleh para wartawan dan jurugambar.

Majistret Siti Norhasliza Md. Ali menetapkan 23 Ogos depan untuk penyerahan dokumen.

Majistret juga membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Tertuduh juga dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua iaitu kesalahan mengikut Seksyen 506 KK.

Tertuduh kemudiannya membayar wang jaminan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, bahawa tertuduh pada 14 Julai, pada pukul 5 petang di Taman Melati Indah, Beseri, Padang Besar dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita.

Ia membawa kepada kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula bahawa tertuduh pada 14 Julai pukul 5 petang di alamat yang sama telah menakutkan secara jenayah ke atas seorang wanita yang sama dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Dia didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK).

Ia membawa kepada hukuman penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohamad Nordin Ismail dan tertuduh dibela oleh peguam Syed Muhamad Anwar  Syed Lokman. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button