
Raja Muda Perlis hadir resepsi pernikahan anak saudara sepupu baginda di Palembang
Palembang, Indonesia – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan pasangan Wan Muhammad Fiqri Mohammad Farish dan pilihan hati beliau, Amira Nur Zahwa Agus Indra, yang berlangsung di Soma Grand Ballroom, Convention Centre, Kota Palembang, Indonesia.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut mesra dengan penuh adat dan tradisi oleh kedua-dua keluarga pengantin. Ibu dan ayah pengantin lelaki, Mohammad Farish Noor dan Dr. Amina Josetta Datuk Paduka Haji Ahmad Kayani, yang merupakan saudara sepupu kepada Tuanku Raja Muda, serta ibu dan ayah pengantin perempuan, Agus Indra dan Umi Rusmina yang berasal dari Palembang, menyambut keberangkatan Baginda berdua bersama rombongan.
Majlis ini turut dihadiri oleh lebih 50 tetamu dari Malaysia, terdiri daripada ahli keluarga terdekat termasuk sebilangan ahli kerabat diRaja Perlis, rakan-rakan rapat ibu bapa pengantin lelaki serta rakan karib pasangan pengantin. Kehadiran delegasi ini memeriahkan lagi suasana dan menjadi lambang eratnya hubungan persaudaraan serta penghormatan antara budaya Malaysia dan Palembang.
Mengiringi Baginda berdua ialah anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, yang turut sama meraikan hari istimewa pasangan pengantin.
Wan Muhammad Fiqri, anak sulung daripada tiga adik-beradik, merupakan graduan Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) dari University of Melbourne, Australia, dan kini bertugas sebagai Arkitek Penyelesaian (Solutions Architect) di Razorpay. Sementara itu, Amira Nur Zahwa, anak sulung daripada dua adik-beradik, adalah alumni Management & Science University (MSU), Malaysia, dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan (Accounting and Finance). Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengurus Hubungan di Bank Rakyat Indonesia (BRI).
Majlis bermula dengan penuh adat resam Palembang, dimulai dengan upacara penyambutan keluarga pengantin perempuan, termasuk salam adat, pengalungan bunga melati, dan upacara simbolik ‘Gendong Anak Menantu’. Acara diteruskan dengan pemberian dan penerimaan hantaran secara tradisional yang melambangkan keikhlasan dan kesepakatan antara kedua-dua keluarga.
Proses ijab dan qabul berlangsung dalam suasana penuh hikmah, dimulai dengan pemeriksaan data pentadbiran, pembacaan biodata pengantin dan saksi, khutbah nikah, pembacaan Sighat Ta’liq, serta penandatanganan dokumen pernikahan. Selesai proses tersebut, saksi rasmi menyerahkan buku nikah, diikuti pemasangan cincin, bacaan doa, dan adat ‘Sungkeman’ di mana kedua-dua pengantin memohon restu daripada ibu bapa mereka.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menjadi saksi bagi pihak keluarga pengantin lelaki, manakala Dr. Ir. M. Amran Yaman bertindak sebagai saksi dari pihak keluarga pengantin perempuan. Proses akad nikah disempurnakan oleh jurunikah, Bapak Rifai, dalam suasana khusyuk dan penuh keberkatan.
Pada majlis resepsi yang menyusul, Gabenor Provinsi Sumatera Selatan, Tuan Yang Terutama Herman Deru, turut hadir untuk memeriahkan acara. Para tetamu disajikan dengan persembahan budaya seperti ‘Tari Pagar Pengantin’ dan ‘Tualang Tige’, yang melambangkan kemeriahan adat Palembang.