
Pengalaman dipenjara, Along Cham bakal hasilkan filem kisah benar
PELAKON dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad, atau lebih dikenali sebagai Along Cham, dibebaskan sementara dengan jaminan selepas ditempatkan di Penjara Sungai Buloh selama lebih sebulan.
Menurut laporan media Harian Metro, Along Cham dibebaskan sebaik sahaja ikat jamin sebanyak RM5,000 dibayar di Kompleks Mahkamah Sepang. Ketika ditemui, pelakon filem Tiada Tajuk itu tidak dapat menyembunyikan rasa syukurnya atas pembebasan sementara tersebut.
“Hari ini adalah sesuatu yang saya anggap mustahil, tetapi Allah memberi jawapan. Terima kasih kepada semua yang telah berusaha keras untuk membersihkan nama saya,” katanya.
Mengimbas kembali pengalamannya sejak 23 Disember lalu, Along berkata bahawa dia memasuki Penjara Sungai Buloh dalam keadaan longlai, namun tetap menyerahkan segala urusan kepada Allah.
“Terima kasih juga kepada pembenci saya. Walaupun berada dalam penjara, saya mendengar banyak fitnah tentang diri saya. Selepas ini, saya akan membersihkan nama saya dan merancang untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan kisah benar tentang apa yang telah saya lalui,” katanya lagi.
Tambahnya, pengalaman di penjara membuka mata tentang pelbagai perkara. “Ramai yang tidak tahu, ketika saya melangkah masuk ke penjara, ada yang gembira dan tepuk tangan. Namun, saya serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Mengetahui,” ujarnya.
Untuk rekod, Along Cham sebelum ini didakwa atas tuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya pada Disember tahun lalu.
Artikle Berkaitan :>