Zahid harap KIMMA terus bersama Muafakat Nasional
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) terus bersama-sama menyokong UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.
Pengerusi BN itu juga berharap agar KIMMA dapat bersama-sama memberi sumbangan yang bermakna bagi kemenangan BN dan Muafakat Nasional di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Saya meletakkan harapan yang tinggi kepada KIMMA…semoga dapat bersama-sama memberi sumbangan yang bermakna agar UMNO dan Barisan Nasional serta Muafakat Nasional memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Gunakanlah sebaik-baiknya pejabat ini untuk menyatukan seluruh ahli-ahli KIMMA dan juga India Muslim. Kita juga harus bersama-sama dalam masyarakat yang pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini,” ujarnya dalam ucapan ringkas ketika merasmikan Ibu Pejabat KIMMA yang baharu di Tingkat 7, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Sebelum ini, Ibu Pejabat KIMMA beroperasi di Jalan Masjid India.
Hadir sama Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader dan barisan kepimpinannya.
Terdahulu, Syed Ibrahim dalam ucapannya amat menghargai pengiktirafan yang diberikan dan turut memberi komitmen yang tinggi.
“Memang kami hormati dan hargai apa yang diberi kepada KIMMA dan KIMMA satu parti yang berjiwa dan bersama dengan UMNO, dari awal dan sampai bila-bila…dan ini juga satu pengiktirafan kepada KIMMA.
“Ini akan memberikan satu impak yang besar kepada KIMMA dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang sentiasa memberikan perhatian kepada KIMMA,” ujarnya.
Turut diadakan majlis doa selamat sebaik selepas acara gimik perasmian.
Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Ogos 2010 telah memutuskan KIMMA merupakan ahli bersekutu UMNO. – UMNO ONLINE