Diari AG

Tengah tidur pun boleh raba duit

23 Januari 2020:

MELIHAT pada nama yang tertera, AG dah boleh agak, penumpang ini bukan orang Malaysia.

Jarak perjalanan jauh. Lewat petang gini tambang pun boleh tahan. Shah Alam ke Cheras sahaja RM44, itu belum masuk duit tol. Tak kisah la orang apa. Lagi pun hari belum gelap.

Makanya, AG pun bergerak pantas ke lokasi pick up – sebuah kondominium baharu, agak mewah. Seperti biasa, bila sampai penumpang belum nampak bayang. Menunggu la AG dengan sabar.

Bila hampir hilang sabar, AG telefon si bakal penumpang tadi. Panggilan pertama tak berjawab. Sudah, kat mana pulak dia ni tunggu.

Pengalaman lalu memang banyak mengajar AG. Disebabkan tak nak pisang berbuah dua kali, AG cuba telefon lagi. Tak berjawab juga. Cuma dia tinggalkan mesej minta tunggu di pintu kedua. AG pun bergeraklah ke depan sedikit mencari pintu kedua. Tak ada juga. Nampak ada seorang perempuan mat saleh kejap-kejap tengok telefon.

Mungkin ini kot. AG cuba tanya. Dia kata memang sedang tunggu Grab tapi bila sebut nama, tak sama pula dengan nama yang AG cari.

Sedang mencari-cari, dapat mesej minta AG masuk ke kawasan kondominium itu, dia tunggu di dalam katanya. Hmmm..banyak hal pulak dia ni. Kejap pintu utama, kejap pintu kedua,  tiba-tiba suruh masuk dalam pula. Tapi AG ikutkan juga.

Betul sangkaan AG. Penumpang yang AG dapat ni perempuan Filipina. Badan agak berisi, tak berapa tinggi, agak seksi dan berambut perang.

Nampak sahaja AG, dia senyum. AG yang tadi berbulu sebab terpaksa layan kerenah dia, tak jadi nak marah. Dia pilih duduk di kerusi depan.

Disebabkan AG ni bekas reporter, mahu tak mahu, sesiapa yang naik kereta AG terpaksa berdepan dengan beberapa soalan cepu mas AG.

Tapi sebelum sampai kepada soalan-soalan cepu mas, AG biasanya akan kemukakan isu-isu santai berkaitan cuaca atau apa-apa sahaja yang memudahkan penumpang menjawabnya. Ini sebenarnya taktik untuk pembuka bicara sebelum tiba kepada persoalan lebih serius, gitu.

Menurut gadis Filipina ini, dia datang ke kondominium itu atas alasan kerja dan mahu ke Miharja untuk ke rumah kawannya.

Sedang AG sibuk menyusun soalan-soalan berikutnya, sambil mata menumpukan perhatian di jalan raya yang agak sesak, AG perasan dia mengambil sampul surat dari dalam beg tangan dan mula mengira isi di dalamnya. Tentulah duit.

Kepala otak AG pon terus menangkap, ini mesti buat ‘kerja tu’. Kerja yang selalu dikaitkan dengan perempuan-perempuan Filipina untuk dapat habuan mudah. Memang mereka dikatakan handal dalam bab-bab melayan hawa nafsu ni.

Beberapa kali dia mengira. AG perasan banyak juga jumlahnya. Patut la awal-awal lagi dia pesan pada AG dia tak kisah kalau AG nak ikut jalan tol.

Lepas beberapa kali kira duit yang ada, dia masukkan semula ke sampul surat dan simpan dalam beg. Dia turunkan penyandar kerusi.

Alamak, soalan cepu mas belum ditanya, dia dah nak tidur. Penat sangat gamaknya dia ni, getus AG dalam hati. Walaupun mulut AG meronta-ronta nak melontarkan soalan, tetapi akhirnya AG ambil keputusan biarkan dia berehat dulu.

Yang anihnya dia ni, tengah tidur siap berdengkur pun, dia akan raba sampul surat dalam beg. AG tengok beberapa kali juga dia buat begitu.

Hasrat AG nak mencungkil rahsia tak kesampaian apabila dia tidur sampai ke sudah!

Maka, pulanglah AG dengan perasaan hampa membawa seribu persoalan tak terjawab.

Pepatah lama ada berkata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Disebabkan menangguh-nangguhkan peluang, pekerjaan sebenar gadis Filipina ini gagal dirungkai dan lebih malang, dengkurannya yang mengegarkan kereta AG masih tergiang-giang!

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button