Nasionalpilihan

YPM laksana program tuisyen pintar untuk pelajar luar bandar

YAYASAN Pelajaran MARA (YPM) memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB, khusus untuk pelajar luar bandar tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program tersebut dilaksanakan di 60 buah Pusat Tuisyen terpilih di seluruh negara dengan penglibatan seramai 6 ribu orang pelajar.

“Usaha ini digerak bagi memastikan pelajar-pelajar dari luar bandar tidak keciciran dan mendapat akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik yang terbaik.

Tuisyen ini kita berikan secara percuma kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah terutamanya di luar bandar yang mempunyai tahap penguasaan akademik yang sederhana dan lemah”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi menyampaikan anugerah kepada Pelajar Cemerlang SPM 2020 dan 2021, SPM (Fast Track Tahfiz) 2021 serta Anak Angkat YPM SPM 2021. Foto: UKK KPLB

Jelas Mahdzir, sejak dilaksanakan pada tahun 2016, Program Tuisyen Pintar ini telah memberi manfaat kepada 80,581 pelajar luar bandar dan telah berjaya meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

“Setiap pusat tuisyen akan disertai oleh 100 pelajar yang akan mendapat bimbingan terus daripada guru-guru pakar daripada kementerian atau MARA yang dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta melibatkan 10 pertemuan.

Mereka akan diajar dengan teknik pembelajaran, menjawab soalan dan sesi motivasi bersama pelajar serta ibu bapa.”

Tambah Mahdzir, Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) YPM dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan PPD yang dilantik sebagai penyelaras bersama.

“Dengan kejayaan Program Tuisyen Pintar tahun-tahun sebelum ini, kita telah mendapat perhatian daripada syarikat-syarikat korporat yang telah mengiktiraf program ini dengan menyatakan hasrat untuk tajaan bagi tahun 2022.

Mas Rizal Mohd Hilmi menyampaikan ucapan di Majlis pelancaran rasmi Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022. Foto UKK KPLB

“Antara syarikat atau badan yang telah menyatakan persetujuan adalah seperti Maybank Islamic Berhad, Celcom Axiata Berhad, Yayasan Khazanah, Gas Malaysia Berhad, Ambank Islamic dan banyak lagi penaja lain yang turut serta,” jelas Mahdzir.

Sementara itu, majlis pelancaran rasmi Program Tuisyen Pintar YPM @KPLB 2022 disempurnakan di sini hari ini oleh Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi yang mewakili Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Turut hadir, Pengerusi YPM, Datuk Razman Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin.

Pada majlis itu, beberapa penaja turut tampil menyerahkan sumbangan “Mock Cheque” bagi Program-program Pendidikan YPM.

Turut disampaikan, anugerah kepada Pelajar Cemerlang SPM 2020 dan 2021, SPM (Fast Track Tahfiz) 2021 serta Anak Angkat YPM SPM 2021.

YPM sentiasa membuka ruang kepada syarikat korporat, agensi luar serta individu untuk sama-sama membantu dalam pembangunan pendidikan khususnya kepada pelajar-pelajar luar bandar.

Bagi tujuan tersebut, syarikat-syarikat korporat atau mana-mana individu yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian menerusi e-donation.ypm.org.my dan Touch’n Go eWallet. – SM

 

(Visited 653 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button