Kemalangan

Wanita warga emas, pelajar maut motosikal terbabit kemalangan

Wartawan Suara Merdeka

ALOR GAJAH 4 Julai – Seorang pelajar maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Air Tanai, Air Paabas dekat sini hari ini.

Mangsa yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Taib Karim mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian pukul 6.20 pagi itu, mangsa yang maut datang dari arah Alor Gajah menuju Air Paabas manakala kereta yang dipandu Jaafar Hazis, 60, pula dari Masjid Tanah ke Alor Gajah.

“Sewaktu tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh Jaafar telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan mangsa yang menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.

“Terdapat kesan geseran dan kesan tayar ditemui di laluan motosikal itu dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Motosikal ditunggang seorang wanita di simpang lampu isyarat Taman Mutiara, Alor Gajah, Melaka.

Sementara itu Arshad berkata, seorang wanita meninggal dunia di Hospital Alor Gajah selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di simpang lampu isyarat Taman Mutiara dekat sini.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai S. Chandra, 60, ketika kejadian menunggang motosikal jenis Honda dan lori tanpa muatan juga datang dari arah yang sama iaitu dari Taman Mutiara ke Pengkalan.

Katanya, dalam kejadian pukul 9.40 pagi itu menyebabkan motosikal yang ditunggang wanita itu telah bergesel dengan lori terbabit menyebabkan mangsa terjatuh.

“Lori itu juga telah mengilis kaki mangsa di bahagian tayar sebelah kiri menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serta dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih kurang pukul 11.40 pagi polis telah dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia sewaktu mendapat rawatan.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

(Visited 403 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button