Luar Negara

“Yang hak adalah hak, yang batil adalah batil”- Allahyarham Dr Mohammed J H Alzaanin

PELAJAR Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohammed J H Alzaanin yang terkorban bersama isteri dan anak-anaknya terkorban dalam serangan pengeboman rejim zionis Israel di Gaza, Palestin meninggalkan kenangan mendalam terhadap tenaga pengajar universiti berkenaan.

Allahyarham Dr Mohammed, 35, merupakan penuntut Program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia bersama isterinya, Kholoud M H Elzaneen, berusia 30-an, mengikuti Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan) Fakulti Sains dan Teknologi Usim.

Empat daripada lima anak pasangan siswazah ini iaitu Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, juga maut dalam serangan jam 8 pagi oleh rejim Israel di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza.

Turut terkorban dalam serangan yang mendapat kutukan dunia itu adalah 20 ahli keluarga dan sanak-saudara mereka. Hanya anak sulung pasangan berkenaan iaitu Jameel, 15, terselamat dalam serangan kejam rejim Zionis yang menyasarkan orang awam itu.

Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor memberitahu, allahyarham Dr Mohammed J H Alzaanin sering membandingkan betapa amannya Malaysia yang dirahmati Allah SWT.

Walaupun Palestin sering bergolak tetapi allahyarham tetap bangga dengan warga Palestin yang diberi kekuatan luar biasa dan tidak pernah ada pada mana-mana rakyat lain di dunia ini iaitu tidak takut mati syahid walaupun sekelumit.

Mengulas mengenai tragedi menyayat hati itu, Khairunneezam yang juga penilai pembentangan viva-voce Allahyarham Dr Mohammed berkata, beliau menerima berita sedih itu daripada rakan yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin serta media massa.

“Saya sangat terkejut dan sedih tetapi bangga sebab dia mati syahid. Dia pulang ke Palestin, kalau tak silap saya pada 10 September lalu. Saya adalah penilai pembentangan viva-voce beliau pada Jun lalu.

“Kali terakhir bertemunya sekitar Julai atau Ogos semasa beliau sedang membuat pembetulan laporan penulisan tesis akhirnya,” katanya menyingkap kenangan bersama allahyarham Dr Mohammed.

Kata Khairunneezam lagi, dalam beberapa tahun awal pengajiannya, allahyarham sememangnya selalu hadir ke fakulti dan berbincang dengannya dan rakan pensyarah lain berkenaan perkembangan penulisan beliau.

Menurut Khairunneezam, Dr Mohammed adalah seorang kakitangan Kerajaan dan difahamkan bertugas di Kementerian Dalam Negeri di Palestin.

Beliau berkata, Dr Mohammed mendaftar ke Usim untuk membuat pengajian sarjana bersama-sama isterinya di Fakulti Sains dan Teknologi dan seterusnya pelajar itu menyambung PhD di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

“Keperibadian beliau, mengikut pandangan saya, memang menunjukkan nilai warga Palestin sejati. Amanah, rajin, berdisiplin, menjaga agama, berani berkorban untuk negara dan agama, kuat semangat dan amat bersopan-santun.

“Kalau berbicara mengenai Palestin, Allahyarham bukanlah yang suka ke hadapan dan bercakap mengenai perjuangan secara terang-terangan dan melulu.

“Tetapi jika berpeluang duduk bersamanya bersendirian atau dalam kumpulan perbincangan formal, tanyalah mengenai bumi anbia itu.

“Pasti dia akan menyebut kemenangan hampir dalam genggaman. Yang hak adalah hak, yang batil adalah batil. Itu antara ‘zikir’ yang selalu disebutnya.

“Sebutlah apa pun senjata dan ancaman seperti peluru, peluru getah, bom asap, bom sebenar, rifal atau apa saja yang menjadi satu bentuk kegerunan mungkin pada rakyat negara kita yang aman damai ini, tetapi itu adalah ‘pemandangan biasa’ saban hari sejak kecil yang dilalui Mohammed,” cerita Khairunneezam.

Kata Khairunneezam lagi, pada masa ini beliau tidak putus mendoakan keselamatan rakyat Palestin terutama seorang lagi pelajarnya, Bahaeldeen di Gaza.

“Dua hari lalu saya ada menerima mesej WhatsApp daripada Bahaeldeen yang menjelaskan, kawasan rumah dia juga kena bedilan Israel. Namun selepas itu, sampai ke hari ini senyap. Saya tak mendapat lagi khabar berita daripadanya,” katanya. – SM

BACA Malaysia kutuk keras serangan udara Israel ke wilayah Palestin

BACA Masjid seluruh Perlis diarah baca Qunut Nazilah bagi keselamatan rakyat Palestin

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button