
20 Tahun gemilang! Rizman Ruzaini tampil dengan koleksi raya 2025 yang eksklusif
DALAM meraikan dua dekad perjalanan fesyen yang penuh gemilang, Rizman Ruzaini tampil dengan kejutan istimewa buat para peminat setia mereka. Tahun ini, jenama ikonik itu menghadiahkan Fashion Royalties dengan tiga koleksi eksklusif sempena lebaran yang bukan sahaja mempersembahkan rekaan anggun, malah mengandungi nilai sentimental yang mendalam.
Menyegarkan kembali gaya ikonik dari koleksi terdahulu, Rizman Ruzaini memperkenalkan Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture Collection, Rizman Ruzaini Raya 2025 Anniversary Capsule Collection dan kembalinya Rizman Ruzaini Red.
Sebagai pelengkap kepada koleksi ini, Rizman Ruzaini menjemput rakan jenama mereka, penyanyi legenda Ziana Zain, untuk meninjau seleksi Raya tahun ini. Beliau mengakui terpesona dengan keanggunan setiap helaian yang ditampilkan. “Ziana Zain merupakan antara selebriti yang paling setia dengan Rizman Ruzaini sepanjang 20 tahun perjalanan jenama ini. Kepekaan beliau terhadap fesyen yang seiring dengan signatur rekaan kami menjadikannya individu yang tepat untuk kami kongsikan koleksi istimewa ini,” kata Rizman Nordin, Pengasas Bersama Rizman Ruzaini.
RIZMAN RUZAINI RAYA 2025 COUTURE COLLECTION
Mengambil inspirasi daripada koleksi Mustika yang dipentaskan di Minggu Fesyen Dubai 2024, Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture Collection mengetengahkan gabungan warisan budaya Malaysia dengan sentuhan moden. ‘Mustika’, yang bermaksud permata berharga, melambangkan keindahan pakaian tradisional Melayu dan membangkitkan nostalgia filem-filem klasik seperti Penarek Becha (1955) dan Rachun Dunia (1950). Koleksi ini turut menjadi penghormatan kepada arwah nenda Ruzaini Jami, apabila idea rekaan dicetuskan saat beliau menyelak album lama yang memaparkan imej nendanya dalam persalinan kebaya klasik.
Potongan kebaya menjadi elemen utama dalam koleksi ini, dihiasi dengan sulaman motif yang diinspirasikan daripada budaya Melayu dan Peranakan. Penggunaan fabrik baldu, krep premium, tulle dan sifon memberikan tekstur mewah yang menyerlahkan keanggunan pemakainya. Koleksi ini turut menampilkan Yang Mulia Tengku Shaheera binti Tengku Abdullah sebagai muse utama. Dengan 23 helaian dalam variasi rona permata, koleksi ini boleh ditempah khas mengikut cita rasa pelanggan. Namun, disebabkan sambutan luar biasa, pesanan tempahan telah pun ditutup.

RIZMAN RUZAINI 20th ANNIVERSARY RAYA 2025 RTW CAPSULE COLLECTION
Bagi meraikan ulang tahun ke-20, Rizman Ruzaini membawakan koleksi kapsul ready-to-wear yang diinspirasikan daripada rekaan paling ikonik mereka sepanjang dua dekad. Setiap helaian dicipta dengan elemen abadi yang membolehkan ia digayakan saban tahun tanpa kehilangan pesonanya.
Menurut Pengarah Kreatif, Ruzaini Jamil, “Koleksi kapsul ini adalah penghormatan kepada pelanggan setia Rizman Ruzaini yang telah menyokong kami selama 20 tahun. Kami menampilkan semula rekaan yang paling digemari dengan sentuhan moden yang lebih segar, tetapi tetap mengekalkan keunikan asalnya.”
Terdiri daripada lapan rekaan, koleksi ini mengetengahkan rona lembut yang sesuai untuk perayaan. Diperbuat daripada sifon berkualiti tinggi dengan perincian mewah, koleksi ini mencerminkan keseimbangan antara tradisi dan inovasi kontemporari. Helaian dalam koleksi ini boleh didapati di butik Rizman Ruzaini di Shangri-La Kuala Lumpur dan di laman rasmi mereka, www.RizmanRuzaini.com, dalam kuantiti terhad.
RIZMAN RUZAINI RED RAYA 2025 READY TO WEAR COLLECTION
Kembalinya Rizman Ruzaini Red Collection pastinya menjadi berita gembira buat Fashion Royalties yang menggemari gaya glamor dengan harga yang lebih mesra. Koleksi ini menampilkan lapan rekaan eksklusif yang diinspirasikan daripada Rizman Ruzaini Raya 2025 Couture Collection dalam versi ready-to-wear.
Menariknya, Rizman Ruzaini Red mengekalkan keanggunan signatur jenama ini dengan rekaan yang lebih praktikal dan versatil. Antara pilihan yang ditawarkan termasuk Baju Kurung Kedah, Baju Kurung Pahang, Baju Kurung Moden, Kebaya dan Kebaya Labuh. Setiap helaian diperbuat daripada fabrik krep dan renda berkualiti tinggi untuk keselesaan sepanjang hari.
Lebih istimewa, tujuh daripada lapan rekaan dalam koleksi ini didatangkan bersama selendang percuma bagi melengkapkan gaya si pemakai. Dengan saiz yang tersedia dari IT34 hingga IT42, koleksi ini boleh didapati di butik Rizman Ruzaini di Shangri-La Kuala Lumpur dan di www.RizmanRuzaini.com sebelum kehabisan stok.