SAMAN ke atas sekolah vernakular yang telah difailkan oleh Mohd Khairul Azam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seminggu lalu boleh diibaratkan seperti pisang goreng panas.
Ini apabila 16 pihak hadir dan memohon sebagai pencelah dalam prosiding tersebut, dengan 13 daripada angka tersebut adalah pencelah yang menyokong defenden (menyokong sekolah vernakular) dan bakinya, tiga adalah menyokong kepada plaintif (membantah sekolah vernakular).
Exco Penaja Wira Putra Malaysia, Zainol Iqbal Mohamad Lutfi berkata, prosiding yang dipenuhi dengan lautan penyokong sekolah vernakular tersebut hingga menimbulkan persoalan, apakah perjuangan menutup sekolah vernakular ini kurang mendapat sokongan daripada orang awam?
Katanya, jika diteliti, kewujudan sekolah vernakular hari ini tiada bezanya dengan dasar pecah dan perintah yang pernah diamalkan oleh penjajah British satu ketika dahulu.
“Dasar pecah dan perintah ini telah meletakkan sesuatu kaum, mengikut tempat dan pekerjaan tertentu. Hari ini, senario yang sama masih lagi diteruskan walaupun jenamanya sahaja berbeza.
“Kaum Cina kebanyakannya di sekolah jenis kebangaaan Cina, kaum India di sekolah jenis kebangsaan Tamil, manakalau kaum Melayu di sekolah kebangsaan.
“Wira Putra tidak menolak ada segelintir masyarakat Melayu yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan (SJK) ini, dan begitulah sebaliknya.
“Namun jumlah tersebut adalah terlalu kecil hingga secara tidak langsung menghalang perpaduan kaum,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, katanya, demi kemaslahatan sejagat, Wira Putra menyokong sepenuhnya tindakan saman sekolah vernekular yang telah difailkan oleh Khairul Azam dan menyeru agar orang ramai agar menyokong tindakan membasmi dasar pecah dan perintah versi moden ini.
“Mana mungkin perpaduan kaum dicapai, andai sekolah vernekular ini masih diamalkan,” katanya. – SM