AKIBAT memakan hidangan ikan buntal, seorang wanita warga emas maut manalaka suaminya dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Kluang, tengah hari Sabtu lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, ikan buntal berkenaan dibeli secara dalam talian melalui aplikasi Facebook.
“Ia melibatkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal dari penjual secara dalam talian melalui Facebook.
“Bekalan diterima pada 25 Mac lalu (Sabtu) pada waktu pagi. Selepas itu ikan berkenaan dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
“Dalam jam 3 petang, wanita berkenaan mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya turut mengalami gejala sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah Tian Soon, pasangan tersebut kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang jam 5 petang oleh anak mereka yang tinggal berasingan.
“Walau bagaimanapun wanita itu telah meninggal dunia pada jam 7 petang, manakala suaminya masih lagi menerima rawatan di ICU.
“Difahamkan ini adalah kali pertama pasangan ini makan masakan berasaskan ikan buntal,” katanya.
Jelas Tian Soon, siasatan lanjut mendapati, ikan buntal itu diperoleh daripada nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.
“Sebanyak 15 kilogram ikan buntal telah dijual di sekitar Chamek (empat pelanggan), Paloh (empat pelanggan) dan Yong Peng (satu pelanggan) pada hari tersebut. Selain pasangan terbabit, kesemua pelanggan belum makan ikan berkenaan.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan buntal daripada semua pembeli itu. Sampel ini telah dihantar ke makmal untuk tujuan analisis. Sehingga kini tiada lagi laporan kes baharu berkaitan ikan buntal.
“Saya ingin mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berhati-hati di dalam memilih makanan terutama jika ia mempunyai risiko yang telah diketahui,” katanya lagi. – SM