Mahkamah

Warga emas didakwa miliki busur silang, anak panah

Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, atas tuduhan memiliki senjata berupa busur silang dan anak panah tanpa kebenaran, tahun lalu.

Pada prosiding didengar Majistret Nabilah Nizam itu, tertuduh, Wee Eng Chuan,66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didapati memiliki satu busur silang dan dua batang anak panah iaitu senjata dijadualkan tanpa kebenaran di sebuah rumah di kilometer 7.5 Jalan Bachang, Batu Berendam di sini, pada 23 November 2023, kira-kira jam 12 tengah hari.

Dia dituduh melakukan kesalahan Seksyen 7 (1) (a) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang menjalankan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh dari Taman Bertam Indah di sini, merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan dia yang sebelum ini bekerja sebagai penyelenggara lif kini sudah bersara.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan kes untuk sebutan semula pada 6 Mac depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button