Wanita buat laporan polis palsu kerana risau dimarahi ibu
HANYA kerana risau dimarahi ibu ekoran kehilangan cincin dan rantai, seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu dengan mangatakan dia menjadi mangsa samun.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 33 tahun itu kira-kira pukul 9.18 malam semalam.
“Wanita itu mendakwa menjadi mangsa samun dua suspek semasa berada di perhentian bas di hadapan Apartment Tiara Damansara, Seksyen 17, Petaling Jaya
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati pengadu sebelum ini telah banyak kali membuat laporan polis menjadi mangsa samun sehingga menimbulkan rasa curiga terhadap aduan yang dibuat,” katanya.
Menurut Nik Ezanee, wanita itu kemudian dibawa ke lokasi kejadian dan dia gagal menunjukkan tempat kejadian sebenar dan bagaimana dia disamun.
Jelasnya, wanita itu kemudian mangaku yang kejadian samun tersebut tidak berlaku dan laporan yang dibuat adalah tidak benar.
“Dia membuat laporan polis palsu kerana risau dimarahi memandangkan gelang dan rantai yang hilang itu telah diberikan oleh ibunya,” ujarnya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sesuka hati membuat laporan polis semata-mata untuk kepentingan peribadi. -SM