fbpx
Ekonomi

Tengku Muhammad Taufik ganti Wan Zulkiflee di Petronas

TENGKU Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebahai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mulai 1 Julai ini.

Beliau akan menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Muhammad Taufik merupakan Ketua Pegawai Kewangan Petronas yang dilantik sejak 2018.

Muhyiddin berkata, suasana ekonomi yang mencabar sekarang memerlukan beberapa syarikat kerajaan diperkukuhkan untuk menghadapi norma dunia yang baharu.


“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut merakamkam ucapan terima kasih di atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun perkhidmatan beliau bersama PETRONAS.

“Di bawah kepimpinan beliau, Petronas juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya.

Jelas Muhyiddin, Wan Zulkiflee juga berjaya mengekalkan Petronas sebagai syarikat kerajaan mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

Muhyiddin turut berkata kemahiran dan pengalaman yang dimiliki Tengku Muhammad Taufik dilihat mampu memacu kecemerlangan Petronas bersama Pengerusinya, Datuk Ahmad Nizam Salleh. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button