Auto TravelBerita Auto

Volvo S90 Recharge T8 – Kemewahan Yang Menjadi Perbezaan

Volvo Car Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan model Volvo S90 Recharge T8 yang dikemaskini dengan kemasan luaran, dalaman baharu serta dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan teknologi terkini. Model Volvo S90 yang berwajah baharu ini menampilkan ciri kemewahan, keselamatan dan kelestarian bagi memberi pengalaman pemanduan yang unggul.

Model sedan premium 4-pintu, 5-tempat duduk ini dibangunkan  melalui  platform Scalable Product Architecture (SPA). Ia dikuasakan oleh Volvo’s Drive-E powertrain dan dilengkapi dengan enjin berkembar T8 dan bateri boleh cas semula jenis lithium-ion yang berupaya menghasilkan 407 Kuasa kuda dan 640Nm Tork.

Gabungan enjin empat-silinder dan motor elektrik yang berkuasa berupaya memberikan prestasi pemanduan dan pada masa sama menghasilkan kadar emisi  CO2  yang rendah. Powertrain yang sama juga telah ditampilkan  pada model Volvo yang dibangunkan  menerusi platform SPA, di mana membabitkan siri 90 dan 60 dalam beberapa tahun kebelakangan ini .

Akhtar Sulaiman, Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia berkata: “Model Volvo S90 adalah lambang kemewahan kepada kami dan kini model ini tampil dengan rekaan Recharge yang baharu. Kami mahu menakrifkan semula konsep ‘perjalanan dalam gaya’ dan mempamerkan ‘kemewahan’ dan pada masa sama mengutamakan aspek ‘keselamatan’ untuk kereta ini. Aspek  estetika  kereta ini – daripada bahagian luaran dan dalaman yang dihiasi krom, kepada ruang dalaman yang dikemaskini dengan penampilan keseluruhan yang lebih kemas – merupakan kemewahan Scandinavian  yang terbaik. Sebagai sentuhan terakhir, Enjin Berkembar T8 yang dipasang  pada Volvo S90 Recharge T8 ini memberikan pengalaman pemanduan yang lancar, lincah dan hebat kepada pemandu.

Rekaan

Rekaan model ini mirip kepada model XC90 apabila S90 Recharge T8 menggunakan warisan Volvo Cars yang kaya dengan ciri elegan terutamanya dalam reka bentuk Volvo. Gabungan reka bentuk minimalis dan corak gaya ini menghasilkan imej premium yang diserlahkan oleh ciri estetik utama Volvo. Ciri berkenaan termasuk  rekaan lampu utama LED gaya “Tukul Thor”, gril menegak krom dengan Volvo Iron Mark dan penggunaan rekaan kemasan Volvo yang menonjol pada bahagian belakang. Lampu belakang  Volvo S90 Recharge T8 juga telah dikemaskini dengan rekaan mirip kepada model Volvo S60 T8 R-Design yang dilancarkan baru-baru ini. Kesemua ciri ini digabungkan dengan elemen kemewahan dan sedikit ciri sporty.

Motif Scandinavian juga digabungkan ke dalam kabin kereta ini bagi meningkatkan lagi keseluruhan penampilan dan rasa Scandinavian. Selain itu, rekaan bilah udara menegak di setiap sisi antara muka Sensus, tempat duduk hadapan baharu dan bumbung suria meningkatkan lagi ciri estetika yang elegan.

Kesalinghubungan, Hiburan dan Keselamatan

Panel Sensus pada Volvo S90 Recharge T8 memastikan pemandu kekal berhubung dengan teknologi dan kemudahan yang bersifat peribadi . Ia menampilkan dua socket  USB di bahagian hadapan bagi sambungan kepada Apple Carplay dan Android Auto. Manakala skrin sesentuh berbentuk potrait 9-inci pula membolehkan akses mudah dan pantas kepada semua menu ciri keselamatan, dan aplikasi hiburan-dalaman kereta. Ini akan memberikan pengalaman audio dan media yang mengasyikkan.

Model S90 Recharge T8 turut memperkenalkan sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dinaiktaraf sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19 pembesar suara dengan kekuatan bunyi dihasilkan sebanyak 1,400W yang mampu menyediakan prestasi audio berkelas tinggi. Pembesar suara signatur Tweeter-on-Top yang terletak kemas di atas papan pemuka juga berintegrasi dengan kontur reka bentuk S90 Recharge T8.

Sistem pembesar suara yang terdapat di dalam model S90 Recharge T8 juga dilengkapi dengan teknologi pembesar suara Nautilus™ yang eksklusif dan memberikan pengalaman bunyi jelas serta pengalaman mendengar yang hebat. Beberapa pembesar suara yang dikemaskini seperti kubah-berkembar tweeter aluminium yang baharu dan kon pembesar suara generasi baharu jarak-pertengahan dalam bentuk komposit Continuum™, pula menghasilkan bunyi yang halus, asli dan semula jadi.

Selain itu, terdapat gabungan ciri unik yang berbeza mengikut bunyi mod bilik seperti mod dewan konsert ,  yang mengambil inspirasi  daripada   kualiti bunyi akustik terkenal, Gothenburg Concert Hall. Manakala,  mod bunyi Jazz Club pula akan membawakan pengalaman suasana bunyi teater Swedish atau kelab jazz  kepada pemandu dan penumpang kereta ini.

Sebagai tambahan, S90 Recharge T8 juga tampil dengan pelbagai ciri keselamatan standard Volvo bermula dengan casis yang diperbuat daripada besi boron yang mengukuhkan badan kereta berkenaan. Ciri ini digabungkan dengan sistem Intellisafe Volvo yang mana model ini dilengkapi dengan teknologi keselamatan terkini yang dibangunkan oleh Volvo seperti Blind Spot Information Systems (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Front and Rear Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid, Pilot Assist, had kelajuan 180kmh dan banyak lagi.

“Kesemua perkara asas yang merangkumi  aspek keselamatan, reka bentuk dan prestasi adalah sama untuk model ini dengan model Volvo yang lain.  Melalui dedikasi pasukan kami, kami yakin bahawa kereta ini  memenuhi kesemua kriteria  bagi memberikan pengalaman pemanduan yang  premium. Ciri plug-in hibrid adalah ciri masa depan tanpa berkompromi dengan pengalaman hari ini. Model S90 Recharge T8 adalah kenderaan mewah  yang memberikan kelainan dan pilihan tepat kepada mereka yang mencari keunikan dan ingin lebih  menyerlah  berbanding  orang lain,” akhiri Akhtar.

Volvo S90 Recharge T8 dijual pada harga RM358,888, kini ditawarkan pada harga RM339,315 selepas pengecualian cukai jualan (atas-jalanraya tanpa insurans) dan kini boleh didapati di semua wakil sah pengedar Volvo seluruh negara bermula hari ini. Selain itu, varian T5, kini berharga pada RM328,888 (sebelum pengecualian cukai jualan), akan boleh didapati bermula dari Jun 2021. Harga yang dikecualikan cukai jualan tertakluk kepada pengumuman yang akan dibuat.

Pada masa sama, ia juga boleh ditempah secara  dalam talian menerusi laman web Volvo Car Malaysia sebagai satu pilihan selamat dan mematuhi  prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Lima pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan iaitu Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey and Thunder Grey. Untuk maklumat lanjut sila  layari  laman web www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di Facebook http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG untuk sebarang kemas kini.

 

kredit: enjindot.com

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button