Hiburan

Vivy Yusof letak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM?

Ahli perniagaan popular, Vivy Yusof akhirnya dimaklumkan telah meletakkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pengumuman itu dimaklumkan UiTM dalam satu status ucapan penghargaan di akaun Facebook rasmi universiti itu.

“Terima kasih kepada Datin Vivy Yusof atas khidmat bakti sebagai Ahli Lembaga Universiti daripada Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Eksekutif Universiti,” kata kenyataan itu.

Pada awal April lalu, satu petisyen telah dibuat bertujuan untuk menggesa Vivy meletak jawatannya di UiTM.

Petisyen itu dibuat ekoran rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kenyataannya yang disifatkan merendah-rendahkan golongan B40 dan M40 yang layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Vivy dan seorang lagi rakannya yang juga ahli perniagaan telah dikecam teruk oleh netizen ekoran perkongsian pendapat itu.

Petisyen itu bagaimanapun telah diturunkan selepas individu yang melancarkannya berkata yang perkara tersebut telah mencapai sasarannya.

Sementara itu, Vivy baru-baru ini telah memfailkan saman fitnah terhadap seorang netizen berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat COVID-19.

Saman fitnah itu difailkan Vivy Yusof, 33, terhadap Alia Najwa Hassannudin, 28, selaku defendan tunggal menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co pada 15 Jun lalu.

Berdasarkan penyataan tuntutan melalui carian dalam e-filing, Vivy selaku plaintif pada 28 Mac lalu menerbitkan rakaman video dalam akaun Instagramnya berhubung perbualan antara empat usahawan berkenaan status ekonomi akibat COVID-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwanya, pada 30 Mac lalu, defendan menerbitkan beberapa pernyataan membabitkan plaintif di akaum laman sosial Facebook dan Instagram miliknya dengan menyatakan Vivy mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40, sedangkan mereka tidak memberi sumbangan kepada ekonomi.

Vivy mendakwa pernyataan itu diterbitkan oleh defendan dengan tujuan mencemuhnya dengan niat jahat dan menjadi tular di sosial media dan dikongsi ramai.

Dakwanya, penerbitan pernyataan fitnah itu menyebabkan pelancaran satu petisyen di laman web pada 1 Mei 2020 bagi mendesak plaintif dilucutkan daripada Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan B40 dan M40 serta ditandatangani oleh lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarkan. -SM

(Visited 1,758 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button