Usul Undi Tak Percaya: 18 Mei bakal saksikan satu lagi krisis politik negara?
USUL undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin kemungkinan bakal menyaksikan satu lagi krisis politik negara pada 18 Mei ini.
Ia telah diterima oleh Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr, Mahathir Mohamad untuk meminta undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki yang mempersoal langkah itu berkata, adakah wajar perkara itu dibangkitkan ketika rakyat dibelenggu dengan wabak Covid-19.
“Dengan penerimaan usul tidak percaya ke atas Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri oleh Speaker Dewan Rakyat ini, apakah petanda negara akan berhadapan dengan krisis politik sekali lagi pada 18 Mei ini?
“Apakah wajar rakyat yang ketika ini terbelenggu dengan keperitan hidup akibat bencana Covid-19, sekali lagi terpaksa diheret berpolemik dalam kancah politik perebutan kuasa PM oleh Tun Mahathir dan Pakatan Harapan?
“Moga Allah lindungi dan sejahterakan Malaysia!” Kata Dr Asyraf Wajdi dalam hantaran di Facebooknya.
Mohamad Ariff dalam satu kenyataan media semalam berkata, usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat pada 18 Mei nanti.
“Satu usul di bawah Mesyuarat 27(3) yang dibangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli yang berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat.
“Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) diterima untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya.
Peraturan mesyuarat 27(3) menyatakan sebarang usul hendaklah dikeluarkan tidak kurang daripada 14 hari, kecuali usul yang dikeluarkan atas kapasiti menteri, maka memadai usul itu dikeluarkan dalam tempoh masa tujuh hari.
Sementara itu, satu lagi usul yang dibawa oleh Dr. Mahathir ditolak speaker, iaitu membuat ketetapan bahawa Yang Di Pertua Dewan Rakyat dikekalkan sehinga Dewan Rakyat dibubarkan.
Sebelum ini, Setiausaha Dewan Rakyat pada 17 April lalu mengeluarkan notis kepada semua anggota parlimen mengenai sidang yang akan diadakan pada 18 Mei ini.
Sebelum pembangkang terutama DAP membantah sidang Dewan Rakyat sehari itu dan menuntut supaya persidangan itu diadakan penuh selama dua minggu bagi membolehkan isu berkaitan pencegahan Covid-19 boleh dibahaskan. – SM