Ekonomi

Usaha Sime Darby Property terajui biodiversiti bandar diiktiraf

SIME Darby Property Berhad (Sime Darby Property) telah diiktiraf atas usahanya dalam menerajui biodiversiti bandar di FIABCI World Prix  d’Excellence Awards 2024 di Singapura. 

Pusat Ilmuan Hutan Hujan Tropika Elmina (Elmina Rainforest Knowledge Centre atau ERKC),  meraih Anugerah Perak dalam Kategori Alam Sekitar, yang mengiktiraf sumbangan Syarikat kepada literasi alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti bandar serta impak kemampanan  positifnya terhadap industri hartanah Malaysia. 

Dianjurkan oleh Fédération Internationale des Administrateurs de Bien-Conselis Immobiliers  (FIABCI), FIABCI World Prix d’Excellence Awards mengiktiraf projek-projek yang  mempamerkan kecemerlangan dalam semua disiplin hartanah yang diguna pakai dalam  pembangunan mereka. 

“ERKC mempamerkan dedikasi kami untuk memelihara, memulihara dan mengukuhkan  ekosistem yang sihat di semua perbandaran dan pembangunan kami”, kata Pengarah Urusan  Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican.

Katanya, tujuan ERKC dibangunkan termasuk memupuk biodiversiti bandar melalui tindakan pemuliharaan, penyelidikan dan pembangunan  bersepadu.

Terletak di Bandar Elmina, ERKC yang berkeluasan 1.09 ekar merupakan pusat sehenti untuk  penyelidikan perhutanan, pemuliharaan, pendidikan alam sekitar, rekreasi, ekopelancongan dan  pelbagai inisiatif kelestarian lain.

ERKC menyelia pendekatan integrasi untuk perancangan  perbandaran, mengimbangi keperluan masyarakat dan kesihatan ekosistem. 

Terletak di dalam Taman Pusat Elmina seluas 300 ekar dan bersebelahan dengan Hutan Simpan  Bukit Cherakah seluas 2,700 ekar, EKRC telah dilancarkan pada Oktober 2020 dengan  kerjasama Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC).  

Projek ini telah pun membuahkan hasil yang memberangsangkan dalam usaha pemuliharaan, dengan penanaman 187 spesies tumbuhan, termasuk 35,000 benih dan 10,000 anak-anak pokok  di Elmina Living Collection Nursery (“ELCN”).

Kebanyakkan anak benih dan anak pokok yang  ditanam di ERKC telah dibawa ke kawasan-kawasan lain di Selangor untuk usaha pemuliharaan. 

Lebih daripada seribu anak benih dan anak pokok tersebut telah ditanam berhampiran Empangan  Klang Gates di sepanjang Sungai Klang. Inisiatif ini berada dalam landasan yang baik bagi mencapai objektif Syarikat untuk menanam 50,000 pokok yang disenarai merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemeliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation of  Nature atau IUCN) menjelang 2030. 

Tambahan kepada pemuliharaan alam sekitar, ERKC dan ELCN telah menjadi pusat tumpuan  bagi penglibatan dan pendidikan komuniti, dengan menganjurkan pelbagai program yang  menggalakkan kesedaran mengenai isu alam sekitar serta penyertaan aktif dalam usaha  pemuliharaan.

Kumpulan minat komuniti (community interest group) ‘The Friends of ERKC’ merupakan contoh terbaik bagi inisiatif ini, dengan menarik lebih 10,000 ahli, termasuk pelajar,  pendidik dan wakil daripada pelbagai badan korporat dan pihak berkuasa.  

Sime Darby Property kekal komited dalam Visinya untuk Memajukan Bidang Hartanah Sebagai  Daya Usaha Untuk Perkembangan Bersama, Serta Memulihara Sumber Planet.

“Biodiversiti  bandar melangkaui bukan sahaja flora dan fauna; ia mengenai kesihatan persekitaran kita dan  kesannya terhadap semua bentuk kehidupan. Anugerah ini menekankan usaha kami dalam menghubungkan komuniti dan alam semula jadi untuk meningkatkan kehidupan dan  kesejahteraan manusia serta kesihatan planet. 

“Ribuan terima kasih kepada pihak FIABCI kerana mengiktiraf potensi kami, dan kami akan terus  menyampaikan kebolehidupan dan kelestarian melalui pembangunan kami untuk manfaat semua  pihak,” tambah Azmir. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button