Nasional

UPSI sumbang lampu solar untuk surau

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) melaksanakan misi kemanusiaan dengan menyumbang lampu berkuasa solar kepada Surau Al-Ihsaniah Parit 9, Kampung Sungai Pergam, daerah ini.

Sumbangan tersebut diserahkan semasa Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran sempena perasmian surau yang selesai pembinaannya hari ini.

Norkhalid (tengah) memberi ucapan perasmian surau Al-Ihsaniah di Kampung Sungai Pergam, Bagan Datuk hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, sebanyak empat buah lampu berkuasa solar tersebut akan dipasang di kawasan jalanraya berhampiran kawasan surau sebagai membantu penambahan pencahayaaan untuk kemudahan jemaah ke surau.

“Penggunaan lampu solar bukan saja dapat membantu masyarakat sebaliknya penggunaan lampu solar cekap tenaga tanpa perlu melakukan pendawaian elektrik sekaligus dapat memanfaatkan teknologi pembaharuan semula tenaga yang lebih hijau di kawasan luarbandar,” jelasnya.

Selain Surau Al-Ihsaniah Parit 9, pada majlis sama pihaknya turut menyerahkan sebuah lampu berkuasa solar kepada Surau Al-Khairiah Al-Diniah Parit 5 dan dua buah unit lampu berkuasa solar kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam.


Menurut wakil Surau Al-Ihsaniah Parit 9, Zainal Abidin Tukiman menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas bantuan dan usaha murni yang dilakukan dalam mengimarahkan lagi surau baharu ini.
“Alhamdulillah, pihak surau amat terharu dan berharap pemberian ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,”
“Surau ini akan terus aktif memainkan peranan sebagai penggerak kepada pelbagai program agama,” jelasnya.

Hadir sama, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berharap inisiatif ini dapat menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan komuniti setempat.

Norkhalid (dua dari kanan) menyerahkan lampu solar kepada Zainal Abidin sambil disaksikan Mohd Azlan.

“UCTC UPSI akan terus memainkan peranan sumbangan program khidmat korporat dengan mengenalpasti kawasan-kawasan seperti surau, tanah perkuburan islam dan sekolah-sekolah di bahagian berhampiran seperti mukim Hutan Melintang pada masa-masa akan datang kelak,” jelasnya yang turut menyumbangkan jam dinding azan takwim solat bagi semasa majlis tersebut.

Sementara itu Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata inisiatif dilakukan ini adalah bertepatan kerana teknologi berkenaan sesuai digunakan di kawasan terpencil seperti kawasan luar bandar di samping mampu mengurangkan pembebasan karbon dioksida.

(Visited 25 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button