NasionalPendidikan

Universiti: Pelaburan luar yang merealisasikan hub pendidikan di Malaysia

BIDANG pendidikan menjadi hub dalam negara dengan kewujudan kampus-kampus universiti termasuk bertaraf antarabangsa. Universiti Muhammadiyah misalnya yang mempunyai 179 kampus di Indonesia, bakal beroperasi di Perlis kelak.

Menurut mantan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin, sudah tiba masanya semua kampus universiti beroperasi dalam kapasiti sepenuhnya.

“Saya nampak bidang pendidikan ini sebagai satu industri yang hebat dan berkesempatan meminta kerajaan Malaysia meluluskan kampus cawangan UMS di Sandakan.

“Permintaan saya juga dipersetujui oleh kerajaan negeri dan kita bina di Sandakan. Saya nampak kesan dan perubahan sebelum ada universiti dan selepas ada universiti.

“Itu baru kampus cawangan, bukan kampus induk. Terasa kesan universiti pendidikan yang mana begitu ramai pelajar datang ke Sabah. Itu satu yang menarik,” ujar beliau sambil menambah, aktiviti perniagaan turut bercambah dengan adanya kampus universiti.

Dr. Mohd. Noh berkata demikian yang tampil sebagai tetamu jemputan dalam bualbicara setengah jam segmen mingguan KAPTEN INDUSTRI yang disiarakan secara penstriman langsung setiap Selasa di media sosial Facebook SUARA MERDEKA dan di Youtube Suara Merdeka.

Untuk rekod, KAPTEN INDUSTRI menjadi segmen pilihan dalam kalangan pemain-pemain industri tempatan sejak ia diperkenalkan sebulan yang lalu dan setakat ini telah menampilkan empat tetamu dalam pelbagai bidang.

Pernah bersara wajib pada usia 56 tahun, anak jati negeri Johor Darul Takzim ini berkata, beliau menegaskan, memang nampak ketara industri pendidikan ini adalah satu industri yang memberi kesan termasuk peluang pekerjaan.

Katanya lagi, uniknya kampus cawangan UTHM di Pagoh ialah kawasan yang sesuai dan uniknya integrated campus atau seperti sekolah integrasi.

“Ketika itu, yang lebih hebat ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin memikirkan tentang integrated campus  macam sekolah integrasi yang mana sekolahnya banyak, kemudahannya dikongsi.

“Jadi di Pagoh ada UTHM cawangan, UTM cawangan, UIAM cawangan dan politeknik yang bukan cawangan dan kita semua berkongsi padang, perpustakaan, dewan besar,” katanya sambil menambah, fasilitas itu dikongsi oleh empat pihak yang dipanggil hub pendidikan atau education hub tetapi integrated.

Berbalik kepada kampus Universiti Muhammadiyah, Dr. Mohd. Noh berkata, beliau mempunyai ramai rakan Malaysia dan Indonesia yang bekerja di universiti tersebut.

“Pihak Universiti Muhammadiyah Indonesia memikirkan bahawa mereka perlu sebuah universiti untuk melatih para pensyarahnya.

“Malaysia berada dalam ranking tinggi dalam dunia dan dalam ASEAN. Indonesia di belakang. Jadi mereka nampak di Malaysia terdapat lebih 500 pensyarah yang telah bersara dan mereka ini mempunyai banyak pengalaman untuk mengajar orang menyelia program PhD, Masters dan post graduate.

“Dia nampak potensi itu dan di sebelah dia, ada 10,000 pensyarah yang belum ada PhD manakala di sebelah Malaysia, ada pensyarah yang sudah bersara yang boleh menyelia PhD.

“Ada dua pendekatan sama ada membawa pensyarah ke sana atau wujudkan universiti di sini. Kalau dia buat di sana tak lari dari cara kerja dan pemikiran tetapi kalau di Malaysia, mereka boleh menumpang kepada kehebatan Malaysia dalam sektor pendidikan,” kata Dr. Mohd. Noh.

Beliau berkata, proses penubuhan Universiti Muhammadiyah Malaysia mengambil masa empat tahun dan sekarang ini, ia adalah satu pelaburan luar dan lokasi menjadi penting. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button