Travel

Promosi Pelancongan Sabah di Matta Fair 2025 Beri Hasil Lumayan

PENYERTAAN Sabah dalam edisi pertama Matta Fair Kuala Lumpur 2025 pada 18 hingga 20 April lalu membuahkan hasil memberangsangkan apabila mencatatkan jualan tertinggi sebanyak RM4.5 juta — peningkatan 46% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 43 ejen pelancongan dari Sabah mengambil bahagian dalam pameran ini, diketuai oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sebagai peneraju utama mempromosikan destinasi negeri itu di zon Sabah.
Sambutan menggalakkan yang diterima mengukuhkan lagi status Sabah sebagai destinasi pilihan pelancongan domestik, menawarkan pelbagai pakej menarik berasaskan aktiviti pengembaraan, budaya, alam semula jadi dan pelancongan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutif STB Tuan Julinus Jeffery Jimit (dua dari kiri) bersama timbalan ketua pegawai eksekutif Puan Tay Shu Lan (kiri) dan Tuan Mohd Azlan Saleh, pengerusi Matta Sabah Chapter dan Tuan Lawrence Chin, ahli lembaga pengarah STB, semasa pelancaran peta AR Sabah

Dalam pameran tersebut, STB turut memperkenalkan dua jenama tempatan iaitu Chanteek Borneo, yang mempamerkan rekaan pakaian dan tekstil bermotif tradisional Sabah, serta Uinah, yang mengetengahkan minuman kesihatan berasaskan hasil tani tempatan. Kedua-dua jenama ini menerima sambutan positif daripada para pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil dedikasi dan penyertaan aktif agensi-agensi pelancongan Sabah, serta bukti kerjasama erat antara pemain industri dan STB dalam mempromosikan pelancongan negeri.

Beliau turut menegaskan komitmen STB untuk terus memperhebatkan promosi destinasi Sabah di pasaran domestik dan antarabangsa melalui pelbagai acara utama seperti Matta Fair, selaras dengan kempen ‘Terokai Sabah’ menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pada Matta Fair kali ini, STB tampil dengan tema ‘Terokai Sabah Dulu Bah’, menawarkan baucar rebat perjalanan sehingga RM100 bagi setiap pembelian pakej pelancongan dengan deposit minimum RM600 dalam satu resit.
Bagi pakej berasaskan komuniti, pembeli turut menikmati rebat tambahan sebanyak RM50 seorang.

Bagi menambah daya tarikan reruai, STB turut memperkenalkan pengalaman realiti maya (VR) dan menganjurkan aktiviti harian, selain menjalankan kajian soal selidik pengguna bagi memahami kehendak pelancong domestik.

Dalam pada itu, STB turut melancarkan Peta Augmented Reality (AR Map) untuk Sabah dan Bandaraya Kota Kinabalu, yang membolehkan pengguna mengimbas kod pada peta untuk mengakses maklumat mengenai lokasi tarikan utama.
Peta interaktif ini dilengkapi garis panduan dan animasi untuk memperkayakan pengalaman pengguna.

Bahan promosi inovatif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif STB dalam menjadikan perjalanan ke Sabah lebih menyeronokkan, menarik dan mudah diakses.
Salinan peta AR ini telah diedarkan kepada pengunjung Matta Fair dan turut boleh dimuat turun melalui laman web rasmi STB.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button