
Mustakim Mohamad Pengarah Urusan dan CEO baharu Tabung Haji
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini mengumumkan pelantikan Mustakim Mohamad sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman, berkuatkuasa mulai 6 Mei 2025.
Pelantikan Mustakim Mohamad adalah selari dengan falsafah TH untuk terus menerajui kecemerlangan dari setiap sudut demi manfaat para pendeposit. Ini termasuk mengurus cabaran beroperasi dalam keadaan pasaran global tidak menentu dan peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti kos penerbangan, penginapan dan perubatan.
Pertimbangan dalam melantik tampuk kepimpinan yang berwibawa cukup penting memandangkan ciri-ciri TH yang berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mengendalikan amanah yang besar. Pelantikan Mustakim Mohamad adalah berasaskan pengalaman dan keupayaannya dalam merealisasikan wawasan TH ke peringkat seterusnya, kata Datuk Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan media hari ini.
Perjalanan kerjaya Mustakim di TH hampir 20 tahun dan merangkumi peranan kepimpinan dalam pelbagai bidang temasuk Kewangan, Pelaburan, Perkhidmatan Deposit dan Operasi, serta Teknologi Maklumat dan Keselamatan.
Jawatan terakhir beliau adalah Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dari Universiti RMIT di Australia dalam jurusan kewangan serta diiktiraf sebagai ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).
“Bersama ini, setinggi penghargaan diucapkan kepada Datuk Syed Hamadah Syed Othman, yang akan tamat kontraknya pada 5 Mei 2025 setelah berkhidmat selama dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH,” katanya.
Kepimpinan baharu ini akan menekankan pendekatan proaktif lagi berinovatif dalam perancangan TH agar menjadi institusi Islam yang beroperasi secara mampan untuk jangka masa panjang.