Nasional

Unimap sedia bas bawa 400 mahasiswa kembali ke kampus

SERAMAI 400 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dihantar pulang ke kampus menerusi inisiatif penyediaan 14 buah bas daripada universiti itu.

Inisatif tersebut adalah langkah yang diambil Unimap dalam membendung  penularan wabak Covid-19 dengan menyediakan perkidmatan pengangkutan khusus.

Bagaimanapun, penyediaan pengangkutan khusus tersebut hanya untuk perjalanan dari lokasi hijau sahaja seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan.

“Misi kali ini membabitkan para pelajar Diploma yang pulang ke kampung halaman masing-masing sewaktu cuti pertengahan semester iaitu sebelum situasi pandemik meruncing.

“Memandangkan kelas dan makmal akan diteruskan seperti biasa, sebahagian pelajar menyatakan kegusaran untuk meneruskan pengajian secara dalam talian di rumah.

“Justeru, UniMAP melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berbincang untuk mencari solusi terbaik.

“Bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke kampus bagi menyambung pengajian dan pada masa sama mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Demikian kata Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad secara dalam talian selepas majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Baharu sidang akademik 2020/202.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro-Canselor, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan simbolik tersebut.

Pada sesi kemasukan ini, Unimap menerima seramai 2,251 pelajar membabitkan 36 program pengajian Ijazah Sarjana Muda yang mendaftar secara dalam talian sepenuhnya.

Kesemua pelajar juga akan mengikuti program dan aktiviti yang telah di atur dalam slot Minggu Suai Kenal Digital termasuk pendaftaran kursus semester pertama serta taklimat bersama fakulti.

Dalam pada itu, R. Badlishah berkata, kesemua pelajar terbabit masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mengisi borang deklarasi kesihatan empat hari sebelum memulakan perjalanan.

Saringan suhu badan juga akan dilaksanakan sebelum pelajar menaiki bas.

Justeru, yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius serta mempunyai gejala tidak akan dibenarkan menaiki bas.

“Bermula 5 Oktober lalu, Unimap telah menggunakan teknologi koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi mengesahkan keberadaan pelajar dan lokasi masing-masing.

“Sistem ini yang dibangunkan sendiri oleh Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) UniMAP yang dapat dipadankan dengan lokasi Covid-19.

“Justeru, kita yakin kesemua pelajar yang akan kembali ke kampus ini adalah dari zon hijau dan selamat sahaja.

“Unimap juga merancang untuk meneruskan inisiatif ini membabitkan pelajar Ijazah yang berdepan masalah internet sebelum memulakan pengajian masing-masing 19 Oktober ini,” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button