Politik
Trending

‘Tempoh ‘Senator’ saya sudahpun berakhir’

KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan beliau bukan lagi seorang ‘Senator’ atau Ahli Dewan Negara.

Bermakna, beliau tidak boleh memegang jawatan dalam Kabinet dan juga tidak boleh dipilih kerana bukan Ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas sebuah poster memaparkan senarai anggota Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim jika menjadi Perdana Menteri.

Entah apa yang mencetuskan keghairahan apabila senarai menteri tersebut sanggup direka kononnya untuk dipersembahkan bersama ketika Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Selasa ini.

“Kalau ya pun nak buat poster ‘fitnah’ seperti ini, buatlah kajian terlebih dahulu.

“Nak sangat letak saya sebagai Menteri kena tahu bahawa Perlembagaan tidak membenarkannya kerana tempoh Senator atau Ahli Dewan Negara saya sudahpun berakhir untuk dua penggal.

“Apa-apapun pendirian Pemuda UMNO tetap kekal mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang jelas menolak sebarang kerjasama dengan DAP mahupun Anwar Ibrahim.”

Demikian kata Asyraf dalam satu kenyataan menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas poster yang tular itu memaparkan anggota Kabinet yang diterajui beberapa parti seperti PKR, UMNO, Pas, MIC, MCA, Amanah, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dalam senarai tersebut, turut meletakkan tiga Ahli Parlimen sebagai Timbalan Perdana Menteri, mereka adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Wakil PBB, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pecahan komposisi parti pula memperlihatkan PKR seramai 11 orang, UMNO (10), Pas (3), Warisan, Amanah dan PBB (2) serta MIC dan MCA (1).

Tambah Asyraf lagi, beliau tidak mahu fokus kerajaan dan partinya beralih daripada usaha membantu rakyat dalam menangani wabak Covid-19.

“Fokus ketika ini seharusnya untuk memastikan agenda bantu rakyat diutamakan dalam menangani pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi yang meresahkan dan menghimpit semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan senarai Kabinet tersebut sebagai ilusi semata-mata.

Beliau yang diletakakkan sebagai pemegang portfolio Menteri Kewangan memaklumkan, senarai tersebut hanya rekaan kerana belum tentu Anwar akan menjadi Perdana Menteri nanti.

AHMAD MASLAN

“Senarai kabinet fatamorgana. Tiada Sebarang perbincangan, maka tiada apa pun keputusan.

“Senarai kabinet ini hanya khayalan, sekadar infografik rekaan yang tiada sebarang kebenaran.

“Saya kekal dalam Muafakat Nasional (MN). Saya Ahli Parlimen yang sokong kerajan Perikatan Nasional (PN). Itulah keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” tegasnya.

Ahli Parlimen Port Dickson, sebelum ini memaklumkan berjaya mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah, beliau mendakwa mempunyai sokongan yang lebih kuat, stabil dan meyakinkan berbanding Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, Anwar yang juga Ketua Pembangkang memaklumkan akan menghadap As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Selasa ini bagi mempersembahkannya. – SM

(Visited 182 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button