Berita

UniMAP sahut lima inisiatif KPT lahir pekerja terbaik

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyahut lima inisiatif yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memenuhi iltizam Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan bakat terbaik untuk pasaran kerja negara.

Sehubungan itu Naib Canselornya, Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, UniMAP merancang pelaksanaan sistem pendidikan anjal bermula Semester Satu, Sesi Akademik 2023/2024.

UniMAP memastikan lima inisiatif KPT dijayakan dengan sempurna.

“Ia melibatkan tiga program pengajian dari Fakulti Pengurusan & Komunikasi iaitu Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaliman berkata, UniMAP juga membangunkan kerangka pendidikan fleksibel – University Flexible Education (UFEF) Framework di mana pengajaran dan pembelajaran di tidak lagi terikat dengan kaedah konvensional.

Katanya, penyampaian kursus-kursus akademik di UniMAP adalah secara pembelajaran teradun (PT)(kaedah pembelajaran yang melibatkan kaedah pembelajaran konvensional dan pembelajaran dalam talian) dan kursus akademik dan bukan akademik akan ditawarkan secara Micro-credential atau Massive Open Online Course (MOOC).

“Bagi Semester Dua, sesi 2022/2023 sebanyak 30 peratus daripada kursus-kursus akademik yang ditawarkan di UniMAP disampaikan secara pembelajaran teradun,” katanya.

Beliau berkata, bagi inisiatif program pengajian dipendekkan daripada 4 tahun kepada 3 tahun, UniMAP telah pun sedia ada menawarkan program pengajian 3 tahun iaitu bagi program Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Muda Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu.

Sementara itu, katanya, kejayaan Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang diperkenalkan tahun lalu turut menyaksikan UniMAP telahpun melaksanakannya dengan membabitkan 10 pelajar universiti itu yang merupakan generasi pertama di dalam keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.

UniMAP siap sedia membangunkan lima inisiatif KPT.

Oleh itu, menurut Zaliman selaras dengan inisiatif agar program SULUNG akan diteruskan KPT, UniMAP akan meneruskannya dengan mengenalpasti lebih ramai pelajar yang layak untuk menerima manfaat yang telah disediakan menerusi program berkenaan.

Begitu juga dengan kemasukan ke asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) dengan keputusan asas dan masih boleh meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya, UniMAP bersedia menerima pelajar dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka yang memenuhi syarat-syarat asas yang ditetapkan boleh memasuki program Asasi TVET dan seterusnya mendapat peluang yang luas untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda khususnya dalam bidang Teknologi Kejuruteraan di UniMAP,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program asasi TVET dan pemendekan tempoh pengajian kepada dua tahun bagi lepasan Diploma Politeknik, Zaliman berkata, UniMAP dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN)  telah mengadakan memorandum persefahaman (MoU) bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

Ujarnya, antara objektif utama ialah mengadakan atrikulasi program-program diploma kejuruteraan di Politeknik dan program-program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan di MTUN.

“Proses artikulasi bagi disiplin mekanikal dan pembuatan telah selesai diadakan. Proses artikulasi bagi disiplin-disiplin lain telah dirancang bagi membolehkan semua program-program di politeknik mendapat pemindahan kredit yang maksimum,” katanya.

Selain itu, Zaliman berkata UniMAP juga optimis memperkasakan latihan industri dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) di universiti itu.

Katanya, UniMAP sedang membangunkan polisi baharu bagi membolehkan kedua-dua perkara itu dapat dijalankan di dalam universiti.

“Dengan penubuhan Pusat TVET UniMAP yang diperkuatkan dengan 10 makmal Industri termasuk kerjasama dengan pihak industri utama, set kemahiran yang sama akan dapat diadakan kepada pelajar yang menjalankan Latihan industri dan WBL di industri,” katanya.

Beliau menambah, isu sama ada mahasiswa universiti berupaya memenuhi kehendak industri sering menjadi bualan semua pihak justeru bagi pihak industri, mahasiswa mestilah seorang tenaga kerja yang kompeten dan bersedia bekerja dengan kemahiran yang diperlukan oleh mereka manakala bagi pihak universiti pula, pengajaran dan pembelajaran mesti selari dengan kehendak industri dan infrastruktur mestilah lengkap dan selari dengan apa yang ada di industri.

“Mahasiswa pula harus bersedia mempersiapkan diri iaitu dengan mempunyai ilmu serta kemahiran yang diperlukan,” kata beliau. – SM

BACA EUROINVENT: UniMAP ungguli 100 peratus pingat

BACA UniMAP tawar sesuatu yang unik kepada pelajar

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button