Nasional

UNGA78: Anwar ketengahkan isu krisis iklim, konflik Palestin dan Myanmar

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka mengetengahkan isu-isu berkaitan perubahan iklim dalam Kenyataan Malaysia pada Sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 78) di New York, Amerika Syarikat (AS).

Ini termasuk menyatakan usaha-usaha Malaysia bagi mencapai Agenda 2030 selain daripada mengetengahkan pendirian Malaysia terhadap cabaran dan konflik global seperti situasi di Palestin dan Myanmar.

“Dalam perhimpunan bersama pimpinan dunia ini, saya antara lain akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim bagi mencapai Agenda 2030, hala tuju negara di bawah kerangka Malaysia Madani serta beberapa isu global lain,” katanya yang dimuat naik di Facebook.

Sebelum itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, penglibatan Anwar ke Perhimpunan Agung PBB yang bermula hari ini sehingga Ahad adalah kali pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“Perdana Menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara itu semasa sesi Debat Umum bertemakan ‘Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all’.

“Tema ini memberi tumpuan dalam meningkatkan semula momentum dan mempercepatkan tindakan ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.

Menurut Wisma Putra, tema tersebut memberi penekanan kepada negara-negara anggota untuk mengambil tindakan bersepadu bagi mencapai keamanan dan keselamatan; memberi insentif terhadap kepimpinan berani dan tegas dalam memerangi perubahan iklim.

Ini termasuk meningkatkan usaha-usaha untuk memastikan hak asasi manusia dipenuhi semua,” katanya.

Sewaktu di New York, Perdana Menteri Anwar turut dijadual mengadakan satu Mesyuarat Meja Bulat dengan syarikat-syarikat Fortune 500; sesi bersama Invest Malaysia New York; forum bersama ahli-ahli Council on Foreign Relations (CFR); dan juga temubual dengan media antarabangsa seperti Bloomberg dan CNN.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela UNGA 78 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama.

“Pertemuan tersebut akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman dalam isu serantau dan antarabangsa.

“Perdana Menteri juga akan menghoskan satu majlis makan malam bagi menyantuni rakyat Malaysia di New York,” katanya.

Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula dijangka menghadiri beberapa mesyuarat dan acara yang melibatkan pelbagai kumpulan antarabangsa dan serantau berkenaan isu-isu berkaitan di sela-sela UNGA 78.

Beliau dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menteri-menteri Kabinet yang lain juga dijadual terlibat dalam pelbagai program yang berasingan sepanjang UNGA 78.

Kata Wisma Putra, penglibatan aktif Malaysia sewaktu sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB menggariskan komitmen Malaysia dalam mengetengahkan isu-isu yang penting kepada negara di platform pelbagai hala (multilateral) terutamanya di PBB. – SM

BACA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button