Nasional

Undi tidak percaya terhadap Sulaiman tidak benar – Mohamad Ali

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 9 Julai – Melaka kecoh lagi apabila sebuah akhbar berbahasa dan dipetik sebuah portal mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membuat undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md. Ali pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 25 Julai ini.

DAP pula mendakwa mendengar desas-desus tersebut yang nyata mengejutkan banyak pihak terutama rakyat, ahli akar umbi UMNO termasuk pemimpin serta ADUN.

Mohamad Ali Mohamad

Yang jelas kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dakwaan tersebut adalah tidak benar sebaliknya ia merupakan propaganda pembangkang.

Menegaskan perkara Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata,laporan yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa itu sengaja diada-adakan semata-mata mahu menggugat
kedudukan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Macam tidak masuk akal ada pulak pakatan ADUN nak buat undi tidak percaya. Saya berani mengatakan situasi itu tidak wujud sama sekali malah saya sendiri terkejut bila mendapat tahu mengenai perkara ini.

“Ini pastinya kerja kotor pembangkang cuba menggugat BN dan UMNO selepas kita memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu.

“Bagi saya ini sudah pasti propaganda pembangkang yang bertujuan untuk meraih simpati rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi,” ujarnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa yang kemudiannya dipetik oleh sebuah portal yang mendakwa ada pakatan daripada ADUN negeri ini akan membuat undi tidak percaya terhadap kepimpinan Sulaiman.

Abdul Razak Abdul Rahman

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan dakwaan itu sengaja diada-adakan bertujuan untuk menggugat kedudukan BN dan UMNO selepas memenangi PRN Melaka.

“Cukup-cukuplah ini bukan masa berpolitik, kita wajar tumpu bantu rakyat ketika kenaikan harga barangan. Tolong jangan buat berita yang tidak benar.

“Saya sebagi ADUN Telok Mas, saya tidak pernah dengar apa-apa dakwaan ini. Saya berani katakan kami tidak pernah berbincang untuk membuat undi tidak percaya terhadap Sulaiman.

“Kami semua ADUN dari awal sudah menyatakan sokongan terhadap Sulaiman untuk terus diberi mandat sebagai Ketua Menteri hingga habis penggal,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka berharap tidak ada lagi pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita yang tidak benar dan cuba menggugat kestabilan politik di negeri ini.

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button