BanjirNasional

Tunggu SSB KPDNHEP hulurkan bantuan dalam masa terdekat

AGIHAN bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, Shah Alam dan Puchong akan dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, sumbangan itu berupa barangan makanan dan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan susu.

“Susulan musibah banjir yang melanda Selangor pada Sabtu lalu, saya telah mengarahkan penubuhan Skuad Sukarelawan Banjir (SSB) di bawah KPDNHEP bagi menyelaras usaha penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, antara keutamaan peranan SSB adalah mengenal pasti jenis barangan keperluan asas dan bantuan lain yang diperlukan selain menggerakkan petugas sukarelawan untuk turun padang membersihkan kediaman mangsa banjir.


Jelasnya, penyelarasan gerak kerja turut dibuat bagi memastikan tenaga sukarelawan ditumpukan ke kawasan yang belum diberikan perhatian dan memerlukan sokongan orang ramai.

Tambah beliau, hasil maklum balas di lapangan, SSB KPDNHEP tampil memberikan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan susu yang sukar didapati ketika masa banjir berikutan pelbagai premis jualan ditenggalami air.

Faktor lain juga merangkumi kawasan di pinggir bandar dan akses jalan yang terputus antara penyebab bekalan asas dihantar oleh SSB KPDNHEP, kata Alexander.

Alexander dan SSB KPDNHEP  semalam turut turun padang dalam misi meringankan beban penduduk Taman Bandar Sri Ehsan, Bukit Changgang, Banting, Selangor

KPDNHEP melalui Sekretariat Food Bank Malaysia dan pelbagai agensi di bawah kementerian tersebut serta syarikat swasta seperti Shopee Malaysia turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir.

“Kerjasama erat yang dijalin antara Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta tatkala bencana melanda negara adalah cerminan terbaik penyatuan rakyat Malaysia.

“Sejajar dengan konsep ‘Kita Jaga Kita’ yang diterapkan, PUSPANITA dan SSB KPDNHEP semalam turut tampil memberikan bantuan kepada kakitangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu antara agensi naungan kementerian yang terjejas ekoran banjir di sekitar Kapar, Meru, Kampung Jawa, Bandar Klang, Kampung Bukit Lanchong dan Seksyen 24 serta 29 Shah Alam,” kata beliau.

Untuk makluman, melalui kenyataan yang sama, MyIPO hari ini turut menyalurkan sumbangan zakat kepada penduduk di daerah Hulu Langat, Shah Alam, Puchong dan kakitangan MyIPO yang terkesan dengan banjir melanda Kuala Lumpur serta Selangor.

Penyaluran sumbangan ini adalah bagi meringankan beban mangsa banjir yang terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda.

Kata Alexander, ia juga merupakan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat MyIPO.

“Mangsa banjir di kalangan warga kerja MyIPO menerima RM1,000 bagi setiap isi rumah manakala ahli keluarga terdekat menerima RM500.00.

“Selain itu, sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan asas turut diberikan. Agihan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat, Shah Alam dan Puchong akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Alexander juga berkata, selari dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu, semua kakitangan yang terbabit dalam bencana banjir ini diberikan cuti kecemasan dan bantuan RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah.

“Bagi tujuan memudah cara, kementerian akan menyelaras usaha mencakupi setiap agensi di bawah KPDNHEP untuk mempermudahkan proses pemberian bantuan kewangan ini supaya ia dapat disalurkan dalam tempoh secepat mungkin” jelas beliau.

Hal ini kerana setiap ketua isi rumah sudah pasti memerlukan dana untuk menjalankan kerja pembersihan dan perancangan untuk membeli barangan keperluan asas yang rosak berikutan banjir, katanya.

Hasil keprihatinan pelbagai pihak, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir kini bertali arus namun SSB KPDNHEP turut mengambil inisiatif agar usaha sedemikian dapat diperluaskan ke negeri lain seperti Pahang.

“Justeru NGO dan syarikat-syarikat diminta untuk tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa-mangsa bencana banjir,” katanya.

Alexander berkata, usaha penyaluran bantuan ini tidak akan terhenti di sini sebaliknya KPDNHEP akan terus memantau perkembangan semasa dan menggerakkan inisiatif bersesuaian memandangkan Monsun Timur Laut yang mengundang fenomena Tengkujuh dijangka berlanjutan hingga Februari 2022. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button