Politik

Tugas Kabinet nasihatkan Agong mengenai tempoh darurat

POLEMIK berkaitan sama ada darurat akan tamat pada 1 Ogos tidak seharusnya timbul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertindak atas nasihat Kabinet berkaitan Proklamasi Darurat.

“Sebagaimana dimaklumi bahawa Proklamasi Darurat yang telah diisytiharkan pada 11 Januari 2021 oleh Yang di-Pertuan Agong selepas bertindak di atas nasihat Jemaah Menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus Kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara.

“Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang dibangkitkan, tidak seharusnya timbul,” kata Takiyuddin.

Beliau mengulas laporan media berkaitan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa sekiranya Proklamasi Darurat diangkat tidak ada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri daripada diadakan.


Dr. Noor Hisham turut dilaporkan berkata, bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara sama ada keadaan darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos ini perlu diteruskan atau tidak.

Takiyuddin menegaskan menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Ia selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk memberi fokus terhadap tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19 dalam kalangan rakyat dengan lebih efektif.

“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” kata Takiyuddin.-SM

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button