Ekonomi

Trump anggap jelajah Presiden Xi untuk jatuhkan AS

JELAJAH Presiden China, Xi Jinping ke beberapa negara ASEAN minggu ini dianggap sebagai usaha untuk ‘menjatuhkan’ Amerika Syarikat (AS).

Itu respond Presiden AS, Donald Trump susulan perang dagang yang memuncak akan dua kuasa ekonomi global itu.

Jinping yang tiba dari Vietnam pada Selasa, ketika ini berada di Kuala Lumpur dalam rangka lawatan negara tiga hari, sebelum ke Kemboja pada Khamis.

“Saya tak salahkan China. Saya tak salahkan Vietnam. Saya nampak mesyuarat mereka hari ini (pada Isnin).

“Menarik bukan? Dan pertemuan itu sangat indah (lovely meeting).

“Mesyuarat itu seperti mencari cara untuk ‘menjatuhkan’ Amerika Syarikat,” katanya.

Jinping hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara dan diberi sambutan negara.

Sultan Ibrahim juga berkenan meraikan Jinping dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.

Pada sebelah petang, Jinping yang diiringi Menteri-Menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Dalam pertemuan dua hala itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

SEMENTARA ITU

KUALA LUMPUR, 16 April — Presiden China, Xi Jinping memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman sempena Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara hari ini.
–fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

BERNAMA melaporkan Presiden China Xi Jinping diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkenan menyambut ketibaan Xi pada 10.30 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Istiadat sambutan di Dataran Kawad Istana Negara dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.

Presiden China itu kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Perdana Sungai Besi, diketuai Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Selesai acara itu Xi kemudian disambut dengan persembahan tarian selamat datang oleh Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara sebagai simbolik penghormatan atas kehadiran Presiden China itu di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengadakan pertemuan bersama Xi serta delegasi China selain menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja.

Xi bersama delegasi turut diraikan serta diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara dengan keberangkatan bersama Yang di-Pertuan Agong di Dewan Santapan Utama.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Wisma Putra dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Xi yang diiringi menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Anwar petang ini, untuk membincangkan kerjasama dua hala serta saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar juga akan menganjurkan majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya untuk meraikan Xi, hari ini.

Lawatan oleh Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.

Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974. Kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun lepas.

Selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia (RM2.88 trilion).

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button