fbpx
Bola SepakSukan

Trent Alexander-Arnold dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik EPL

PERTAHANAN Liverpool, Trent Alexander-Arnold dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2019/20, hari ini.

Bek kanan Reds dan England itu mengetepikan tujuh bintang bola sepak yang turut bersaing, termasuk tiga tonggak serangan Manchester United, Anthony Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford.

Pemain tengah Aston Villa, Jack Grealish, dua bintang muda Chelsea, Christian Pulisic serta Mason Mount dan penjaga gol Sheffield United, Dean Henderson turut berada dalam senarai pendek tersebut.

Alexander-Arnold memecahkan rekodnya sendiri apabila menyempurnakan 13 bantuan bagi musim Liga Perdana dan turut meledakkan empat gol dalam empat perlawanan.

Pemain itu membantu Liverpool menjuarai EPL selepas menanti selama 30 tahun dan turut dicalonkan sebagai anugerah Pemain Terbaik EPL 2019/20.


Legenda Liverpool, Jamie Carragher memuji impak yang dihadirkan Alexander-Arnold dari posisi bek kanan, sambil membandingkan anak muda itu dengan legenda yang bermain di posisi sama.

“Apabila anda memikirkan tentang pertahanan terbaik di dunia pada masa lalu, anda akan terfikir Roberto Carlos dan Cafu yang sentiasa berlari dari bawah hingga ke atas padang.

“Trent turut melakukan perkara yang sama, dan kita telah berbuat demikian untuk seketika dengan melancarkan serangan dari bahagian pertahanan.

“Tetapi apa yang dilakukan pemain ini ialah dia menerajui permainan daripada posisinya dan kita belum pernah menyaksikannya sebelum ini. Dia merupakan pemain perancang daripada bek kanan.

“Jarak hantarannya hampir seperti Kevin De Bruyne, anda boleh mempertikaikan bahawa terdapat dua pemain yang mampu melakukan hantaran terbaik dalam Liga Perdana. Tetapi seorang adalah pemain tengah dan seorang lagi merupakan pemain pertahanan,” katanya kepada Sky Sports. – Daily Mirror UK – SM

Show More

Related Articles

Back to top button