Nasionalpilihan

TNB tawar dermasiswa MYBF kepada 2,500 pelajar B40

Pandemik COVID-19 yang terus memberi kesan kepada semua sektor ekonomi bukan penghalang untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tetap meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, syarikat utiliti negara itu komited meneruskan tajaan untuk pelajar melanjutkan pendidikan mereka bagi memyokong usaha meningkatkan modal insan negara, selain membantu pelajar dari keluarga B40 keluar dari kepompong kemiskinan.

“Kami terpanggil untuk meneruskan tajaan, terutama Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) kepada pelajar dari keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalan suasan pandemik COVID-19 yang masih berlanjutan.

“Dermasiswa MyBF diberikan kepada pelajar tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik. Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA – UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih.

“Seramai 2,500 lagi pelajar akan menerima tajaan dermasiswa MyBF pada tahun ini yang mana jumlah tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil pula, RM6,600,” katanya.


Dermasiswa MYBF adalah kerjasama TNB dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk menyelaras dengan mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan membantu pelajar di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.

Antaranya, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Menurut Mahdzir, sejak diperkenalkan pada 2018, lebih 5,000 pelajar telah pun menerima manfaat MyBF sehingga tahun 2020 menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) dengan TNB memperuntukkan sebanyak RM66 juta.

“YTN yang ditubuhkan pada 1993 telah pun membelanjakan lebih RM1.2 bilion melibatkan peruntukan dermasiswa MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 pelajar.

“Biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk pelajar cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes.

“YTN, ketika ini juga sedang mengenalpasti calon-calon pelajar yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini,” katanya.

Ujarnya, selain YTN, TNB turut membantu pelajar di peringkat pendididkan tinggi
menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU), khusus untuk pelajar-pelajar di Universiti Tenaga Nasional.

“Pada tahun ini YCU menyumbang sejumlah lebih RM772 ribu bagi pembiayaan pelbagai program melibatkan, antaranya pembelajaran secara maya (virtual learning), penyelidikan pasca COVID-19 dan program sekolah angkat,” jelasnya. -SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button