Nasional

Tindakan tegas kepada orang awam ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

TINDAKAN tegas di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK), akan digunakan pada orang awam yang melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Seksyen 186 KK berkaitan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, manakala Seksyen 188 KK berkaitan mengingkari perintah yang diisytiharkan, oleh penjawat awam.

Beliau berkata jika terdapat mana-mana individu yang ingkar, polis akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka kerana ingkar, atau melawan arahan penjawat awam yang bertugas.

Katanya setakat ini pihaknya tidak menahan orang awam, kerana mereka memberikan kerjasama yang baik kepada polis.

“Buat masa ini kita hanya memberi nasihat kepada orang ramai, bahawa mereka perlu berada di rumah sepanjang masa,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Loke Yew, di sini, hari ini.

Mazlan berkata pihaknya menugaskan seramai 5,000 pegawai dan anggota, di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Buat masa ini, kesemua cuti pegawai dan anggota saya dibekukan cuti mereka dan bertugas sepenuhnya mengikut shif, bagi memastikan kelancaran Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pelaksanaan hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan pada sebelah malam turut mengalami penurunan jumlah kenderaan, di sekitar Ampang.

“Saya lihat ada segelintir orang awam yang berkeluarga melakukan perjalanan secara beramai-ramai dalam satu kenderaan. Hal ini yang mereka tidak faham, ada yang berkeluarga melakukan perjalanan dengan membawa bayi, di mana golongan itu lebih terdedah untuk dijangkiti COVID-19,” katanya.

 Arjunaidi berkata mereka tidak sedar akan risiko apabila mereka bersama-sama dalam satu kenderaan, juga boleh menyumbang kepada risiko penyebaran COVID-19.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim pula berkata, pihaknya akan terus mengadakan sekatan jalan raya dan memberi nasihat kepada pengguna jalan raya, agar mengurangkan perjalanan.

“Pihak polis juga memberi nasihat dan arahan tutup kedai kepada yang tidak terkandung dalam pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan, melalui rondaan kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Pasukan jenayah juga turut membuat pemeriksaan di pusat hiburan dan pusat urut berlesen, agar premis ini patuh larangan beroperasi dalam tempoh 18 hingga 31 Mac,” katanya.

Beliau berkata semua langkah tersebut dilaksanakan secara berhemah, dan orang ramai khususnya rakyat Melaka diminta mematuhi arahan dan nasihat polis, bagi memastikan objektif pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dapat dicapai.

Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada Rabu sehingga 31 Mac, bagi mencegah penularan wabak COVID-19, daripada terus merebak di negara ini. – BERNAMA

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button