KETUA Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, peningkatan kadar kemasukan pekerja asing
adalah disebabkan oleh tindakan majikan yang membawa masuk pekerja mereka pada saat-saat akhir menjelang 31 Mei 2024.
Katanya, ini berikutan Kerajaan telah menetapkan 31 Mei 2024 sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka. Selain daripada itu, setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA.
“Sebagai perbandingan, dalam keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500-1000 orang. Bilangan ketibaan mula meningkat sehingga 2500 orang sehari pada 22 Mei 2024 dan seterusnya pada 27 Mei 2024 telah meningkat sehingga 4000-4500 orang sehari.
“Jabatan ini menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 berdasarkan makluman dari syarikat penerbangan yang akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan.
“Bagi mengurus situasi ini, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad telah mengambil langkah segera untuk menguruskan kesesakan ini bagi memastikan keselesaan penumpang-penumpang lain di KLIA terjamin. Antara tindakan yang telah dilaksanakan
adalah:-
1. Menambah bilangan kaunter untuk mempercepatkan proses semakan dan pengesahan;
2. Menambah bilangan pegawai Imigresen untuk menguruskan ketibaan pekerja asing yang ramai; dan
3. Menguruskan kebajikan seperti menyediakan makan dan minum untuk pekerja asing yang berada di terminal
“Jabatan akan terus memantau dan menambah baik situasi ini dan mengesa para majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka yang
seterusnya akan mengurangkan kesesakan di balai ketibaan,” katanya. – SM